Zolkples: Azizulhasni mungkin jadi kambing hitam

Zolkples (tengah) melihat basikal jenama Ridley yang diterima oleh skuad berbasikal negara, semalam.

Zolkples (tengah) melihat basikal jenama Ridley yang diterima oleh skuad berbasikal negara, semalam.

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang mungkin menjadi ‘kambing hitam’ bagi menutup kelemahan mutu pengadilan pihak tertentu.

Beliau berkata, pembatalan penyertaan Azizulhasni dalam siri Piala Dunia mencetuskan persoalan terhadap mutu pengadilan apabila rakaman video jelas membuktikan beliau tidak bersalah dalam Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia, bulan lalu.

“Saya sarankan seperti sukan tenis dan badminton, berikan ruang kepada pasukan yang protes untuk tengok tayangan video kembali bagi menentukan kesalahan itu betul-betul berlaku atau tidak,” katanya selepas majlis menerima tajaan basikal daripada Ridley Bicycles Company/Action Bods Singapore, semalam.

Ridley Bicycles Company/Action Bods menyumbangkan sebanyak 80 basikal kepada skuad berbasikal kebangsaan untuk kegunaan latihan dan pertandingan.

Dalam pada itu, Zolkples berkata, tahun ini adalah tahun penting bagi sukan berbasikal terutama dalam menghadapi temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Kita bukan sekadar ambil bahagian tapi jadi penyumbang pingat emas dan ini dibuktikan empat tahun lalu apabila Josiah memenangi acara keirin di Sukan Komanwel di New Delhi dan Azizulhasni menang acara sama di Guangzhou, China.

“Kita juga dimaklumkan bahawa Josiah telah kembali menjalani latihan serta prestasi Fatehah Mustafa yang semakin meningkat memberi harapan bukan setakat pingat pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel tetapi juga harapan pingat pertama pada temasya Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, John Beasley berkata, sudah tiba masa untuk beri tumpuan kepada persediaan pasukan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia daripada membincangkan isu pengadilan pada Kejohanan Dunia.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya sebutir emas dalam Sukan Asia dan kami gembira dengan tahap persediaan yang dilakukan,” katanya. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.