Zink terbang, pokok tumbang

REMBAU – “Selama 15 minit kami bertujuh berlindung di dalam rumah kedai papan dan berdoa semoga semuanya selamat susulan kejadian cuaca luar biasa berserta angin kuat, hujan lebat dan guruh,” luah penduduk Rokiah Midon, 43, ketika ditemui di rumah kedainya di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, kelmarin.

Sulaiman dan Rokiah menunjukkan kain rentang yang diterbangkan angin kuat di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini, kelmarin.

Sulaiman dan Rokiah menunjukkan kain rentang yang diterbangkan angin kuat di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dua batang pokok berhampiran rumah kedai Rokiah dan suaminya, Sulaiman Abdul Karim, 46, tumbang dan terkena sebatang tiang elektrik. Rokiah berkata, sejak berniaga di lokasi berkenaan tiga tahun lalu, mereka tidak pernah berhadapan dengan keadaan cuaca buruk seperti ini dan sangat cemas kerana ia berlaku sekelip mata sahaja.

“Saya dan suami dengan bantuan lima pekerja kontrak yang sedang membina rumah mesra rakyat segera menutup pintu kedai dan berlindung dalamnya kerana gusar melihat keadaan angin kuat itu. “Malah, ada bahagian rumah mesra rakyat yang baru sahaja diikat dengan
batu blok runtuh semula susulan kejadian angin kuat berkenaan walaupun hanya memakan masa selama 15 minit sahaja,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, setelah angin kuat reda dan hujan tidak lagi lebat, dia keluar dari kedai dan melihat keadaan sekeliling rumah kedainya bagi melihat kerosakan disebabkan cuaca buruk berkenaan. “Betul seperti yang saya jangka, sekeping zink panjang rumah kedai saya diterbangkan angin dan terdapat atap zink yang bocor susulan kejadian ini.  Malah, ada dua batang pokok berhampiran rumah tumbang.

“Saya segera memaklumkan masalah berkenaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membetulkan kerosakan tiang elektrik yang terkena pokok tumbang, ” katanya.

Menurutnya, Ketua Umno Cawangan Seberang Batu Hampar, Datuk Zaifulbahri Idris juga sudah meninjau keadaan rumah kedainya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.