Wan Zaharulnizam Yakin Mampu Galas Tugas

KOTA BHARU – Pemain baru Kelantan, Wan Zaharulnizam Zakaria yakin mampu menggalas tugas dua bekas pemain The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin dan Nurul Azwan Roya yang beraksi di posisi sayap kiri dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Wan-Zaharulnizam-Zakaria-565x376Pemain berusia 22 tahun itu berkata, beliau yakin dengan pengalaman yang ditimba ketika bersama skuad Harimau Muda A kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah cukup buatnya untuk memikul tanggungjawab di bahagian jentera serangan itu.

“Memang tidak dinafikan Indra Putra dan Nurul Azwan merupakan pemain yang hebat di posisi sayap kiri, namun tidak mustahil untuk saya memberikan aksi lebih mantap daripada mereka.

“Saya akan gunakan pengalaman ketika bersama skuad kebangsaan bawah 22 tahun sebaik-baiknya untuk membalas kepercayaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan seluruh penyokong The Red Warriors,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Zaharulnizam yang berasal dari Tumpat berkata peluang untuk beraksi bersama pasukan dari negeri kelahirannya sendiri akan digunakan sebaik mungkin, sekaligus menjadi pembakar semangat untuk beliau menabur bakti dengan mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

Namun, beliau mengakui sedikit tertekan kerana masih memerlukan waktu untuk mendapatkan keserasian dengan pemain-pemain yang lain kerana baru menjalani latihan kira-kira sebulan yang lalu.

“Saya juga terpaksa bersaing dengan pemain import iaitu Mohamed Ghaddar dan Mohamed Shawky kerana mereka berdua juga merupakan antara pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.

“Selaku pemain baharu, memang tidak boleh lari daripada menghadapi tekanan dalam mendapatkan keserasian dengan pemain lain. Namun, ia bukan satu masalah besar bagi saya dan ia memerlukan sedikit masa selain perlu menggandakan latihan,” katanya. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.