Undi rosak jejas peluang

KUANTAN – Setiap undi begitu penting kepada calon bertanding sama ada dari BN mahupun PR kerana kertas undi itu menjadi penentu kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Undi rosak akan terus berlaku sekiranya masih ada pengundi yang tidak tahu dan sengaja'merosakkan' undi mereka atas pengaruh emosi.

Undi rosak akan terus berlaku sekiranya masih ada pengundi yang tidak tahu dan sengaja ‘merosakkan’ undi mereka atas pengaruh emosi.

Undi itu juga bukan sahaja menjadi penentu kemenangan tetapi menjadi keperluan calon untuk menang dengan majoriti lebih besar.}

Ketika semua sibuk meneliti jumlah undi yang diraih setiap calon dengan perbandingan undi majoriti, jumlah undi rosak bagi setiap kerusi sama ada Parlimen mahupun Dun setiap negeri perlu diberi perhatian.

Kertas undi rosak sama ada sengaja atau tidak, satu kerugian kepada pengundi kerana mensia-siakan tanggungjawab dan hak sebagai warganegara untuk memilih tampuk pemerintahan negara.

Berdasarkan keputusan bagi Pahang, jumlah undi rosak bagi 14 Parlimen sebanyak 11,300 manakala 42 kerusi Dun pula, 11,075.

Bagi kerusi Parlimen, jumlah undi rosak tertinggi dicatatkan di kerusi P.85 Pekan iaitu sebanyak, 1,275 manakala P.79 Lipis terendah apabila hanya 426 undi rosak diterima.

Manakala bagi kerusi Dun, jumlah undi rosak tertinggi dicatatkan di N.10 Damak sebanyak 647 undi berbanding N.29 Jengka apabila jumlah undi rosak yang dicatatkan hanya, 50 undi.

Perbezaan jumlah undi rosak bagi setiap kerusi tidak boleh dijadikan perbandingan kerana kadarnya mungkin bergantung kepada jumlah pengundi di setiap kawasan.

Bagaimanapun pada hakikatnya, undi rosak terus berlaku dan menjadi satu kerugian kepada proses demokrasi.

Kalau dilihat kepada beberapa kawasan, misalnya di P.78 Cameron Highlands, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang berdepan pertandingan lima penjuru hanya peroleh majoriti 462 undi dan sekiranya 877 undi rosak itu tidak berlaku, kemungkinan beliau menang majoriti lebih selesa.

Ada kemungkinan juga calon lawan dari DAP, M Manogaran mampu menang atau setidak-tidaknya merapat jurang undi di kerusi tersebut.

Sekiranya dilihat kepada beberapa kerusi Dun misalnya, N.10 Damak, majoriti undi diraih calon BN, Datuk Lau Lee hanya 64  undi.

Jika undi rosak sebanyak 647 itu tidak berlaku, ada kemungkinan juga beliau menang dengan majoriti lebih baik atau peluang calon Bebas, Koh Bong Heng merampas kerusi itu lebih tinggi.

Situasi serupa mungkin berlaku di beberapa kerusi lain misalnya di P.89 Bentong apabila calon DAP, Wong Tuck hanya tewas di tangan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai majoriti 379 undi sedangkan undi rosak 988.

Kesimpulannya, isu undi rosak ini perlu diberi perhatian kerana masalah itu mungkin berlaku atas beberapa faktor.

Agak malang sekiranya undi rosak berlaku kerana pengundi tidak memahami kaedah mengundi atau sengaja merosakkan atas pengaruh emosi atau protes.

Dalam beberapa kes, ada pengundi mempertikaikan calitan dakwat kekal sebelum membuang undi kerana menurut mereka ada kemungkinan dakwat itu boleh terkena dan mengotorkan kertas undi secara tidak sengaja.

Justeru pengundi terutama dari kalangan  golongan warga emas dan pengundi muda sewajarnya diberi pemahaman yang lebih jelas.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.