Undi dapat habuan

GEORGETOWN – Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah menerima aduan orang ramai yang didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab berhubung dakwaan ditawarkan wang tunai sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Tze Tzin (kiri) dan Abdul Halim (kanan) bersama kesemua hampir 200 pengadu menunggu dihadapan premis seperti yang dijanjikan pihak bertanggungjawab di Sungai Dua kelmarin.

Tze Tzin (kiri) dan Abdul Halim (kanan) bersama kesemua hampir 200 pengadu menunggu dihadapan premis seperti yang dijanjikan pihak bertanggungjawab di Sungai Dua kelmarin.

Laporan itu dibuat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin bersama calon  PKR Dun Teluk Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain yang menerima aduan daripada lebih 200 pengadu yang dilihat beratur di sebuah premis di Sungai Dua di sini, tengah hari kelmarin untuk menuntut wang tunai seperti yang dijanjikan kepada mereka.

Tze Tzin berkata, beliau yang menerima aduan itu bergegas ke premis berkenaan dan berjumpa sendiri dengan semua pengadu terbabit bagi mengetahui perkara sebenar.

“Mereka mendakwa, telah dihubungi seorang individu yang tidak dikenali yang memaklumkan supaya mereka boleh menuntut habuan yang dijanjikan sebelum ini di sebuah premis di Sungai Dua bermula semalam (kelmarin) hingga Ahad (hari ini), antara jam 11 pagi hingga 8 malam.

“Kesemua yang menerima panggilan serta sistem pesanan ringkas (sms) berpusu-pusu ke premis berkenaan untuk menuntut habuan mereka iaitu wang tunai,” katanya. ketika menghubungi Sinar Harian kelmarin.

Lebih mengejutkan, ada juga daripada mereka mendakwa diminta oleh seorang Adun berbuat demikian.

Tze Tzin berkata, selepas menerima aduan daripada kesemua pengadu di situ, beliau bersama Abdul Halim kemudiannya bergegas ke Balai Polis Sungai Nibong untuk membuat laporan polis sebelum ke SPR negeri.

“Selepas berbual dengan mereka, saya merasakan ada yang tidak kena dengan perkara itu. Saya kemudiannya membuat satu laporan polis dan SPR. Laporan di SPR, ia dibuat kepada Timbalan Pengarah II, Rizal Kamis untuk diambil tindakan.

“Saya berharap agar polis dan SPR membuat siasatan menyeluruh, profesional serta adil. Saya juga berharap agar kes ini akan dibawa ke perhatian Pengarah SPR kerana ia dianggap serius. Saya menyifatkan ia perbuatan membeli undi,” katanya.

Sementara itu, Rizal berkata, beliau akan meluluskan aduan itu dan akan menyerahkan kepada ibu pejabat sebelum membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya.

Tze Tzin berkata, jika benar perkara itu berlaku, beliau mengharapkan agar pihak berkuasa akan mengambil tindakan berikutan ia menjadikan pilihan raya pada kali ini tidak bersih seperti yang diharapkan.

“Jika didapati ia satu perbuatan yang menyalahi undang-undang, saya kesal kerana ia seolah-olah membenarkan orang yang berduit dan kaya raya membeli undi rakyat semata-mata untuk kemenangan calon mereka.

“Jika ia terbukti benar ada unsur politik wang, ia satu perbuatan serius kerana ia melibatkan keputusan pilihan raya. Kita akan buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin ini (esok) untuk siasatan lanjut kerana merasakan ia ada hubung kait dengan gejala rasuah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu dan akan merujuk kes itu kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.