Umno tidak pernah tolak Islam

KELMARIN penulis berkesempatan menonton beberapa ceramah di kalangan pemimpin-pemimpin dan calon-calon Pas di YouTube. Nampaknya rata-rata masih lagi mendendangkan isu lapuk bahawa Umno adalah sebuah parti sekular yang menolak Islam.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Bagi penulis isu-isu sebegini amat berbahaya untuk terus dikumandangkan kerana ia boleh membuka kembali pintu kafir-mengkafir sesama Islam, terutama kalangan pengikut fanatik bawahan.

Namun persoalan yang lebih mendasar, apakah benar Umno parti sekular bahkan menolak Islam sebagaimana didakwa? Adakah selama 55 tahun Umno menerajui kerajaan, Islam dipisahkan daripada sebarang dasar mahupun agenda pemerintahan sebagaimana maksud sebenar sekular? Atau apakah Umno selaku parti teras kerajaan Barisan Nasional selama ini menentang sebarang usaha memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam?

Hakikatnya agenda Islam tidak pernah dikesampingkan Umno, malah dalam Perlembagaan Umno Fasal 3.3 secara jelas menggariskan bahawa dasar dan matlamat perjuangan Umno antara lainnya ialah “Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama”.

Malah komitmen Umno terhadap agenda Islam ini terus ditegaskan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar beliau sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

Sememangnya Umno telah banyak menyumbang kepada peningkatan syiar dan syariat Islam, sama ada berbentuk fizikal seperti perundangan, pembangunan prasarana dan institusi keagamaan mahupun dalam konteks penerapan nilai-nilai Islam melalui pendidikan, sosial dan pembangunan ekonomi.

Sumbangan Umno ini jugalah yang memungkinkan berlakunya transformasi sosial masyarakat sehingga meningkatnya kesedaran dan keinginan untuk hidup beragama berpandukan nilai-nilai Islam yang luhur.

Kesedaran terhadap Islam juga tampak semakin mengakar dalam masyarakat kini, khususnya generasi yang lahir pasca kemerdekaan dan melalui sistem pendidikan berorientasikan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang diperkenalkan kerajaan.

Bukan itu sahaja, kerajaan memperuntukkan ratusan juta daripada bajet negara setiap tahun untuk membiayai imam, bilal, guru-guru agama JQAF, Kafa yang semuanya bagi memastikan rakyat di semua peringkat sentiasa dibangunkan kefahaman Islamnya.

Natijahnya kesedaran Islam kian menyubur dalam masyarakat hinggakan pelbagai program agama sama ada di televisyen, radio mahupun di premis-premis pejabat bercambah dan berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Sistem ekonomi Islam berasaskan syariah yang bebas daripada riba umpamanya, terus menjadi model negara-negara Islam mahupun bukan Islam seantero dunia. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia hari ini yang mempunyai sistem dan infrastruktur kewangan Islam paling komprehensif bersifat menyeluruh.

Daripada Tabung Haji, institusi perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam yang menyantuni keperluan pelbagai kelompok masyarakat hinggalah kepada skim-skim pembiayaan mikro patuh syariah kepada golongan berpendapatan rendah dan usahawan-usahawan kecil.

Pengalaman penulis menjelajahi pelbagai negara seantero dunia yang ingin belajar daripada Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam berpandukan syariah sentiasa dihujani dengan kenyataan kekaguman mereka terhadap Malaysia.

Justeru, untuk menuduh Umno sebagai parti sekular yang tolak Islam tentunya adalah satu tohmah dan fitnah tidak berasas. Cukuplah kalau nak dibuat perbandingan dengan negara Turki yang masih berpegang kepada sistem sekular sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negaranya walaupun rakyatnya hampir keseluruhan Islam.

Hingga hari ini kerajaan Turki tidak dibenarkan menyediakan sebarang peruntukan kepada aktiviti pembangunan Islam lantaran dasar sekular melarang kerajaan mencampuradukkan urusan agama dengan pentadbiran kerajaan. Bahkan di universiti kerajaan pun tidak boleh diwujudkan fakulti syariah melainkan dinamakan fakulti Teologi yang dikehendaki mengajar semua agama lain untuk menzahirkan kesamarataan.

Berbeza dengan Malaysia yang langsung tidak menyebut perkataan sekular dalam perlembagaan, bahkan menzahirkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan. Sebab itulah kerajaan boleh melaksanakan apa sahaja agenda yang berkaitan dengan Islam walaupun rakyatnya berbilang agama.

Sebab itulah dakwaan mengatakan Umno sebuah parti sekular yang menolak Islam adalah satu pendustaan besar. Malah dakwaan berupa fitnah dan bertujuan menanam kebencian sesama Islam ini tentunya akan hanya membawa kepada perpecahan yang merugikan umat Islam di Malaysia yang tidaklah mempunyai majoriti kuat berbanding dengan negara-negara Islam lain.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.