Ulama Pas, Umno berbeza

PASIR PUTEH – Pas tidak menafikan penglibatan ulama atau tokoh agama dalam Umno tapi peranan mereka berbeza dengan Pas yang menjadikan golongan itu sebagai ketua atau setidak-tidaknya sebagai penunjuk arah.

Mohd Amar Nik Abdullah

Mohd Amar Nik Abdullah

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Umno mula mengakui pentingnya ulama dalam parti politik selepas puluhan tahun berlawan dengan Pas.

“Hari ini Umno bercakap nak perkasakan Islam di Kelantan, kita dah lama bagitahu benda ni tapi baru sekarang mereka sedar dan memilih tokoh ulama sebagai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Bezanya ialah dalam Pas ulama sebagai ketua atau penunjuk arah tapi dalam Umno, ulama penumpang di belakang yang tidak mempunyai apa-apa fungsi,” katanya ketika berceramah pada majlis pengumuman awal Manifesto Pas Kelantan di Padang MDPP di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, calon Pas Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamed, calon Pas Dun Limbongan, Mohd Nazlan Mohd Hasbullah, calon Pas Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, calon
Pas Dun Gaal, Tuan Mazlan Tuan Mat dan calon Pas Dun Selising, Saipul Bahrin Mohamed.

Beliau berkata, Umno selama ini hanya pandai bercakap soal pembangunan seperti membuat jalan, jambatan dan sekolah.

“Kita tidak kata pembangunan itu tidak penting tapi pembangunan fizikal semata-mata akan menjadikan manusia berada dalam keadaan tidak menentu.

“Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengakui bahawa apa yang dilaksanakan Umno tidak mencukupi kerana tidak ada roh dalam pembangunan negara,” katanya.

Mohd Amar berkata, beberapa persoalan yang ditimbulkan Umno seperti Pas tidak melaksanakan pembangunan, Kelantan menghadapi masalah air dan penghijrahan rakyat kerana ketiadaan peluang kerja tidak susah untuk dijawab.

“Kita nak tahu definisi pembangunan itu sendiri kerana Kelantan juga ada pembangunan, sekiranya tidak ada maka soal itu kena tanya kepada Umno sendiri kerana itu semua tanggungjawab kerajaan pusat.

“Isu masalah air pula, kita nak tanya negeri mana yang tidak menghadapi masalah air di negara ini, lihat sahaja di Johor yang mana kerajaan terpaksa memberikan pinjaman RM2 bilion, lihat pula di kawasan Perdana Menteri di Pekan, Pahang, ia lebih serius daripada yang dihadapi rakyat Kelantan.

“Kita mengakui ada masalah tapi kita sudah berusaha mengatasinya sehingga masalah itu kini berjaya dikurangkan,” katanya.

Dalam isu penghijrahan rakyat Kelantan kerana ketiadaan peluang kerja, beliau berkata, rakyat negeri ini memang gemar berhijrah.

“Mereka mengamalkan mobiliti sosial sehingga mereka berjaya di negeri orang dan di Kelantan sendiri juga ada orang luar berhijrah, bukan orang Kelantan sahaja yang bekerja di negeri ini,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.