Ugut bunuh isteri

KOTA BHARU – Akibat taksub cinta, seorang buruh sanggup mengugut bunuh dengan mencucuk gunting dan pisau pada badan isterinya, September lalu.

Tertuduh (kanan) keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.

Tertuduh (kanan) keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.

Perbuatan agresif itu bagaimanapun dibalas dengan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Muhammad Abdul Rahim Jaafar, 22, dengan memberi keutamaan ke atas aspek keselamatan mangsa.

“Dalam mana-mana kes pun, sangat sukar memuaskan hati kedua-dua pihak (mangsa dan tertuduh). Saya perlu memilih dan dalam kes ini, saya mengambil keputusan melindungi mangsa kerana bimbang kejadian (bunuh) lebih buruk berlaku,” katanya.

Muhammad Abdul Rahim didakwa melakukan ugutan jenayah itu terhadap Siti Zuhrah Arifah Mohamad, 21, di sebuah rumah di Kampung Tapang, Jalan Hospital di sini, pada jam 7.30 pagi, 8 September lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang berada di rumah keluarganya didatangi tertuduh dengan memaksanya mengikut balik ke rumah dan berbaik semula dengannya.

Namun, pengadu enggan memenuhi permintaan itu menyebabkan tertuduh berang dan mengugut membunuh mangsa.

Pada masa sama, tertuduh menuju ke dapur mengambil sebilah pisau lalu mencucuk pisau itu di belakang pengadu dan tiba-tiba mengeluarkan gunting pula serta mencucuknya ke perut pengadu.

Dalam ketakutan, pengadu akhirnya berjanji akan mengikuti tertuduh sebelum pergi ke balai membuat laporan selepas tertuduh meninggalkan rumah tersebut.

Pada prosiding tersebut, tertuduh tidak menafikan tindakannya itu, namun memberitahu mahkamah dia bertindak sedemikian kerana mendakwa isterinya curang.

“Suami mana tidak marah kalau isteri curang, tetapi tidak mengapalah, saya mengaku salah,” katanya.

Nik Habri kemudian menasihatkan tertuduh supaya mengambil langkah lebih bijak menyelesaikan kemelut rumah tangga, bukannya dengan cara ugutan bunuh. Tertuduh juga dipercayai penagih dadah.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.