TV AlHijrah Bersiaran 24 Jam, Perkenal Radio Hijrah.FM

tvah-pic-1

Setelah lima tahun dalam dunia penyiaran tanah air, stesen televisyen Islam Malaysia,TV AlHijrah mengorak langkah lebih besar dengan mengumumkan beberapa pembaharuan yang dijadualkan bermula pada 1 Jun ini.

Antaranya ialah AlHijrah mulai tarikh itu bakal beroperasi selama 24 jam dan stesen itu juga akan memperkenalkan stesen radio baharu dinamakan Hijrah.FM yang dijadualkan bermula pada 1 Ramadan 1437 Hijrah akan datang.

Stesen ini dijangka memberi saingan kepada IKIM.fm terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Salam FM diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia selain program kapsul agama disiarkan radio milik stesen RTM.

Antara yang bakal diperdengarkan selain daripada lagu-lagu keagamaan ialah rancangan bual bicara bersama agamawan, kumpulan profesional, berita dalam negara dan antarabangsa serta pelbagai rancangan menarik lain.

Lazimnya stesen TV AlHijrah bersiaran dari 6 pagi hingga 12 tengah malam dan hanya bertambah menjadi 24 jam sepanjang bulan Ramadan untuk menyiarkan secara langsung ibadah solat tarawih dari Masjidil Haram di Makkah.

Dua perubahan besar itu adalah antara langkah penjenamaan semula stesen tersebut dan kini di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Haji Izelan Basar, yang dahulunya ialah bekas pengurus stesen Astro Oasis.

Beliau yang pernah terkenal dengan program Imam Muda di Oasis dan kini baharu lapan minggu bertugas di stesen AlHijrah mengumumkan langkah menarik itu dalam satu majlis gilang-gemilang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri personaliti terkenal antaranya Datuk Ustaz Kazim Elyas, Profesor Dr. Muhaya, Ustaz Don, Dr. Azizan Osman, Asyraf Muslim, Mizz Nina dan bekas gangster Singapura yang bertaubat, Abang Long Fadhil.

Penjenamaan semula stesen TV AlHijrah tersebut ujar Izelan, 57; bukan sahaja lebih berani dan hebat bahkan ia menjangkau sasaran yang jauh lebih besar dengan memperkenalkan slogan sensasi “Islam Is First Class“.

Izelan yang menggantikan Datuk Che Wan Alias Wan Abdullah sejak 1 April lalu turut membentangkan program 7 Wonders sepanjang Ramadan bermula 1 Jun ini dengan menggunakantagline “Ramadan Bulan Kegembiraan”.

Katanya, sebagai sebuah stesen yang sudah cukup kukuh, sudah sampai masanya untuk ia tidak sekadar menjadi seperti jaguh kampung, tetapi jaguh dunia. Justeru tiba masa stesen itu perlu bersiaran 24 jam mulai 1 Jun ini.

“Sebagai sebuah stesen bersandarkan ilmiah, ia harus bergerak 24 jam. Bagi saya ia jauh lebih mudah dan bermanfaat kerana banyak bahan yang baik boleh dikongsi bersama-sama dengan penonton sepanjang masa.

“Misalnya rancangan ngaji al-Quran, tarawih dari tanah suci Makkah. Sebaik mungkin siaran kita menguasai waktu tahajud,” kata anak jati Muar yang sebelum ini pernah bertugas 22 tahun di beberapa stesen terkemuka luar negara.

“Kita memulakan siaran 24 jam supaya orang tidak tidur sebaliknya boleh beribadat. Untuk itu program Ramadan Bulan Kegembiraan akan dimulakan seawal 1 Jun ini dengan pengisian untuk orang dapat beribadat.” ujarnya.

Izelan turut memperkenalkan team produksi wanita sepenuhnya untuk TV AlHijrah pada malam tersebut dan ia merupakan kumpulan penerbitan televisyen disertai 100 peratus wanita yang pertama seumpamanya di negara ini.

Sepanjang Ramadan, semua rancangan bercorak drama dan hiburan mahupun persembahan nasyid ditiadakan bermula 1 Jun ini. Ia hanya akan kembali ke udara menjelang Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya,” jelas beliau lagi.

Tambah Izelan, pembaharuan yang dibuat itu bukan sahaja baik untuk penonton bahkan meningkatkan moral serta semangat kakitangan stesen tersebut sejak diwujudkan pada 1 Jun 2011 di bawah AlHijrah Media Corporation.

“Apa lebih penting dan jadi asas ialah bekerja demi Allah, bukan untuk saya,” tegas Izelan yang pernah menerbitkan Pencetus Ummah, Ustazah Pilihan, Tanah Kubur, Salam Muslim dan Ustaz Kazim – Kalau Dah Jodoh.

Beliau yakin, sebagai stesen yang kukuh, TV AlHijrah akan menjadi stesen Islam yang lebih bermutu dan terkenal di serata dunia sambil berkata: “Sebab itu disebut Islam Is First Class. Kerana memang itu hakikat yang sebenarnya.”

Ramadan Bulan Kegembiraan diisi program bermutu dari pelbagai genre seperti dokumentari, kerohanian, masakan dan travelog di samping penonton berpeluang ‘hantar’ berita secara telefon bimbit melalui “Kongsi Berita”. – Mynewshub

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.