Tun Mahathir akur Najib tolak debat

image (14)
ALOR SETAR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akur sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak untuk berdebat dengannya secara terbuka selepas Dialog PM bersama NGO, ‘Nothing To Hide’ dibatalkan pada saat akhir.

Merujuk kepada kenyataan Najib, Khamis lalu, di mana Perdana Menteri menyifatkan debat secara terbuka tidak memberi apa-apa kebaikan kepada Umno, memandangkan kedua-duanya adalah dari parti yang sama, Dr Mahathir berkata, debat tidak perlu diadakan jika pihak terlibat enggan bersemuka secara terbuka.

“Tidak setuju adakan debat, sudahlah. Dia tidak boleh bahas, tak bolehlah (diadakan),” katanya kepada media selepas hadir pada program ‘Sembang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’ di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), semalam.

Dr Mahathir yang lantang mengkritik Presiden Umno itu sejak kebelakangan ini, turut ditanya apakah medium yang sesuai diadakan selepas forum dan debat secara langsung tidak menjadi kenyataan, sebaliknya beliau sekadar berkata, tiada keperluan lagi.

Mengulas sama ada forum seumpama ‘Nothing To Hide’ perlu diadakan semula, Dr Mahathir berkata, jika Najib dilihat enggan memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan, ia tidak akan menjadi kenyataan.

“Tak payahlah. Dah orang kata tak mahu, tak mahulah…,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Dr Mahathir menyatakan kesediaan beliau berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri mengenai isu-isu dibangkitkan termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan tiada keperluan untuk menyiarkan debat antara Perdana Menteri dengan Dr Mahathir secara langsung melalui televisyen kerana debat secara terbuka sebegitu bukan tradisi dalam kalangan pemimpin negara.

Jumaat lalu, forum ‘Nothing To Hide’ yang sepatutnya dihadiri oleh Najib dan Dr Mahathir bagi menjawab isu 1MDB terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

Sehingga kini, kedua-dua pemimpin itu sekadar berbalas kenyataan melalui blog masing-masing.

Najib berpendapat insiden yang berlaku pada forum yang sepatutnya diadakan secara tertutup bertukar format kepada majlis perbahasan terbuka, menyebabkan majlis itu menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antaranya dengan Dr Mahathir.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.