Tun M: Batal segera pembelian tanah 1MDB

image (36)

SHAH ALAM – “Rancangan ini perlu dibatalkan sekarang juga!” demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kontroversi terbaharu berhubung pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau membidas tindakan TH yang menggunakan caruman orang awam untuk membeli tanah yang hanya 1.5 ekar Tun Razak Exchange (TRX) tapi membayar pada kadar hampir dengan harga 70 ekar tanah yang dibeli 1MDB sebelum ini.

“Wang tabung haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji.

“Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk ‘bail out’ (pemulihan) hutang 1MDB. Tanah TRX seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB dengan harga RM194.1 juta untuk 70 ekar.

“Sekarang TH membeli satu 1.5 ekar dengan harga RM188.5 juta, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar. Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan Bumiputera. Tetapi 1MDB telah mengetepikan projek ini,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya Chedet.com, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di TTRX milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman namun menafikan pembelian Signature Tower melibatkan kos RM 578 juta.

Dalam tulisan sama, Tun Mahathir mengingatkan Tabung Haji bahawa wang yang disimpan orang ramai dengan harapan ia diurus dengan baik tetapi malangnya ia digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

“Tiada ada negara yang begitu berjaya mengumpul wang dari orang Islam yang berhajat untuk mengerjakan haji dari Malaysia dengan tabung hajinya. Wang yang ditabung sejak ditubuhkan Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta Ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan tabung haji dan subsidi kepada bakal haji.

“Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya? Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang telah hilangkan berbilion Ringgit.

“Rancangan ini perlu dibatalkan sekarang juga,” tegasnya.

Beliau juga sempat memberi amaran kepada Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim agar menyiasat dan melaporkan gejala-gejala rasuah yang berlaku serta buktikan beliau turut melesapkan duit kerajaan sepanjang pemerintahannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

“Tunku Aziz berkata dia sedia menyiasat Jho Low (ahli perniagaan) dan Riza Aziz (anak tiri Najib) jika saya buat laporan. Sebenarnya laporan telah dibuat oleh pihak lain tetapi tidak ada siasatan yang dibuat oleh sesiapa. Sebaliknya pihak yang melaporkan diisytiharkan muflis dan rumahnya telah digeledah.

“Jika Tunku Aziz begitu prihatin terhadap gejala rasuah, siasatlah dan laporlah kes-kes berkenaan. Buktikan juga yang saya lesap duit kerajaan!! Jika tidak dapat diam sajalah,” tegasnya.

Sebelum ini, Tunku Aziz mengkritik skandal kewangan yang berlaku dalam tempoh 20 tahun Tun Mahathir berkhidmat.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.