Tolong jangan jual bayi kami

image (23)JOHOR BAHRU – Tindakan seorang buruh binaan menyerahkan bayinya yang baharu berusia sebulan kepada seorang wanita untuk dijadikan anak angkat, membawa padah apabila individu terbabit menghilangkan diri sejak enam bulan lalu.

Yap Chan Hwa, 34, berkata, dia terpaksa menyerahkan bayi perempuannya hasil perkahwinan kedua bersama wanita warga Vietnam kepada orang lain selepas mengalami masalah kewangan.

Dia dan isterinya yang berumur 25 tahun itu khuatir jika anak mereka dieksploitasi oleh sindiket penjualan bayi walaupun mereka berniat menyerahkannya kepada keluarga angkat.

“Saya dikenalkan dengan wanita yang dikenali Pipi Go seorang pengurus kilang simen oleh seorang rakan yang memaklumkan dia berhasrat memelihara anak saya.

“Seminggu kemudian kami bertemu dan saya menyerahkan bayi kami di sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, Disember tahun lalu.

“Pipi dan seorang lelaki yang didakwa suaminya bersetuju dan ingin membawa bayi kami untuk ke hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

“Selepas itu mereka berjanji ingin memulangkan semula dan menghantarnya ke rumah,” katanya ketika ditemui media, di Kelab Media Cina Johor Selatan, di sini semalam.

Chan Hwa berkata, hatinya berasa sedikit lega apabila wanita berusia 32 tahun itu menghubunginya dan berjanji ingin memulangkan semula bayi terbabit kerana hasil pemeriksaan mendapati anaknya mengalami masalah sindrom down.

“Selepas menghubungi kami, Pipi terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi sehingga kini.  Kami berasa tidak sedap hati dan bimbang terhadap keselamatan anak kami. Saya dan isteri nekad membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya selang empat hari kemudian (15 Disember 2013).

“Hasil semakan melalui nombor telefon bimbit Pipi, kami berjaya mengesan kediaman wanita berkenaan di Pontian, namun malangnya dia tidak tinggal di situ.

“Malah bapanya memaklumkan hubungan Pipi dan lelaki terbabit adalah sebagai kekasih, bukan suami isteri,” katanya.

Katanya, paling mengejutkan apabila bapa wanita terbabit memaklumkan anaknya dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan bayi selepas menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan.

“Kami berdua bingung selepas kejadian itu. Walaupun enam bulan berlalu, namun kami tidak berputus asa mencarinya.

“Baru sebulan menatap wajah anak kami, saya juga tidak sempat mendaftarkan anak kami,” katanya.

Perkahwinan pertama Chan Hwa dikurniakan tiga cahaya mata berumur tujuh hingga 13 tahun.

Selepas bercerai dia berkahwin kali kedua dengan wanita Vietnam tersebut, namun tidak didaftarkan dan hanya menjalani upacara mengikut adat.

Walaupun berhasrat menyerahkan anak mereka kepada orang lain, Chan Hwa dan isteri berharap keluarga angkat itu dapat memberikan sepenuh kasih sayang terhadap anak mereka seperti zuriat sendiri.

Selepas anaknya gagal dijumpai, pasangan terbabit membuat aduan kepada Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Johor, Kuo Song Tuck.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan daripada bapa bayi terbabit manakala kes disiasat mengikut Seksyen  369 Kanun Keseksaan kerana  melarikan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung laporan terbabit.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.