Tindakan mahu tutup Line Clear tak wajar

Kedai nasi kandar Line Clear sentiasa dipenuhi pelanggan setiap hari

Kedai nasi kandar Line Clear sentiasa dipenuhi pelanggan setiap hari

GEORGETOWN – Tindakan penutupan kedai yang akan dilakukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) jika ahli keluarga pemilik kedai nasi kandar Line Clear tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan antara mereka dalam tempoh dua minggu adalah tidak wajar.

Bukan sahaja tidak bersetuju dengan tempoh yang diberikan malah MPPP digesa menyelesaikan konflik yang berlaku terhadap pengurusan restoran nasi kandar popular itu dengan adil dan tidak berat sebelah.

Peguam kepada anak pengasas Restoran Nasi Kandar Line Clear, Rosli Ismail berkata, tempoh 14 hari yang diberikan itu tidak memadai berikutan masalah dihadapi oleh anak guamnya bersama saudara lain tidak dapat diselesaikan walaupun sudah berlanjutan sekian lama.

Menurutnya, MPPP perlu memanggil semua  pihak terlibat terutama anak guamnya, Abdul Hamid Seeni Pakir serta tiga individu lain kerana ia membabitkan pertelingkahan keluarga.

“Isu pertikaian ini berlanjutan sejak sekian lama. Adakah tempoh 14 hari yang diberikan MPPP dapat menyelesaikan masalah ini?

“Tindakan penutupan juga tidak adil kerana sebelum ini kami sudah beberapa kali mengajak semua yang terlibat untuk berunding namun mereka tidak hadir,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pergolakan yang berlaku dalam pengurusan restoran terkenal ini apabila tiga individu yang diberikan lesen oleh MPPP menuntut perniagaan yang dijalankan mengikut sistem giliran dilakukan semula.

Rosli (kanan) dan Abdul Hamid pada sidang media semalam

Rosli (kanan) dan Abdul Hamid pada sidang media semalam

Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latiff Thulkarunai dan Pathumah Iskandar menuntut hak mereka dan mendakwa pemilik sekarang, Abdul Hamid SN Seeni Pakir gagal mematuhi hak penggiliran yang dipersetujui sejak 2008.

Mengulas perkara itu, Rosli berkata, tiada sebarang perjanjian yang dilakukan Abdul Hamid bersama tiga individu terbabit sebelum ini.

Menurutnya, konflik milikan perniagaan itu membabitkan sejarah panjang dan sebagai anak kepada pengasas restoran berkenaan, Abdul Hamid mempunyai hak untuk meneruskan empayar perniagaan arwah bapanya itu.

“Kami hairan bagaimana MPPP boleh mengeluarkan lesen perniagaan restoran berkenaan kepada tiga individu lain tetapi tidak meluluskan lesen serupa kepada Abdul Hamid.

“Sedangkan Abdul Hamid adalah individu paling layak mendapat lesen berkenaan memandangkan mewarisi perniagaan restoran itu secara terus daripada ayahnya, Seeni Pakir Rawter Naina Mohamad,” katanya.

Rosli berkata, Abdul Hamid sudah beberapa kali memohon lesen perniagaan restoran itu antara 2009 hingga 2011 namun sehingga kini tidak diluluskan MPPP.

Beliau kesal kerana MPPP tidak memberi sebarang maklum balas kepada beberapa surat yang dihantar bagi menjelaskan perkara sebenar berhubung konflik milikan restoran itu.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.