Tiada komplot mahu tukar PM, TPM

Shahrir

Shahrir

JOHOR BAHRU – Tidak wujud sebarang gerakan di kalangan ahli Umno yang menuntut perubahan berlaku pada pucuk pimpinan tertinggi parti dan tampuk kerajaan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, spekulasi yang digembar-gemburkan itu hanya rekaan pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan.

“Saya tidak dengar mengenai perkara ini. Ini semua rekaan orang yang hendak keadaan tenang, dikecohkan.

“Pada saya, tiada pihak mahu sama ada Najib diturunkan, sementara Muhyiddin dinaikkan,” katanya ketika menjawab dakwaan kononnya Umno ada mengambil ketetapan meminta pemimpin tertinggi parti melepaskan kesemua jawatan di dalam Umno dan Kerajaan.

Shahrir berkata, dakwaan itu timbul disebabkan kebebasan berfikir dimiliki semua pihak sehingga meramalkan pelbagai perkara termasuklah mengenai BN dan Umno.

“Kita tidak boleh menyekat (mereka) daripada meramal atau membuatkan pelbagai andaian (kononnya hendak turunkan Najib dan naikkan Muhyiddin, dan kini ada pula hendak turunkan Muhyiddin).

“Inilah Malaysia, pelbagai cerita direka. Jadi kita tidak boleh larang cerita itu ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, BNBBC berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak memimpin negara ini, selaku Perdana Menteri sambil dibantu oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kami berpuas hati dengan sikap keterbukaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri bukan sahaja memperkasakan institusi Parlimen, malah memantapkan peranan Ahli-ahli Parlimen, khususnya daripada Barisan Nasional (BN).

“Ahli-ahli Parlimen BN ketika ini lebih banyak diberi peluang memainkan tanggungjawab masing-masing dalam mengutarakan pandangan dan memberi nasihat ke atas sesuatu dasar yang hendak dilakukan kerajaan,” katanya.

Sementara itu Shahrir menjelaskan kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen akan menjadikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab ma sepenuh masa.

Beliau berkata, kenaikan itu membolehkan ahli parlimen lebih fokus pada tugas dan tanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing-masing selain penggubal undang-undang.

“Bila naikkan gaji ahli parlimen, dia punya hasrat adalah supaya cukup untuk mereka ‘bertanggungjawab’ sepenuh masa.

“Daripada kita lihat Ahli Parlimen itu separuh masa iaitu mereka berniaga sambil jadi wakil rakyat baik mereka tumpukan sepenuh perhatian  menjaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lulusnya Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Ahli Parlimen oleh Dewan Rakyat yang sebelum ini ditangguhkan pada sidang Dewan Rakyat lalu.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Ahli Parlimen yang ditangguh pada sidang Dewan Rakyat lalu. – Sinar Harian

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.