Tetak suami kerana cemburu

SEGAMAT – Disebabkan perasaan cemburu, seorang isteri tergamak menetak suaminya menggunakan parang dalam kejadian di kuarters kediaman pekerja ladang di Jementah, Ahad lalu.

Azlan menerima tujuh jahitan di kepala selepas ditetak menggunakan parang oleh isterinya.

Azlan menerima tujuh jahitan di kepala selepas ditetak menggunakan parang oleh isterinya.

Mangsa, Azlan (bukan nama sebenar) berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, dia diserang dan ditetak kerana isterinya mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

“Isteri saya salah faham kerana wanita yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan saya itu merupakan rakan lama ketika bersekolah di Muar.

“Kami kerap berhubung, namun dia juga sudah berkeluarga.

“Mungkin disebabkan berang kerana hubungan saya dengan rakan saya terlalu mesra, timbul perasaan cemburu pada isteri sebelum berlaku sedikit pertengkaran sebelum dia (isteri) terus masuk ke dapur,” katanya.

Azlan pada mulanya tidak mengesyaki tindakan isterinya ke dapur agak terkejut apabila isterinya itu kembali dengan membawa sebilah parang sebelum menghayun ke arahnya.

Menurutnya, dalam kesakitan, dia berlari keluar rumah dan mujur jirannya bertindak segera menghubungi Balai Polis Jementah sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Jementah.

“Saya kemudiannya dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk rawatan lanjut.

“Akibat kejadian itu, saya cedera di kepala dan belakang badan, selain mendapat tujuh jahitan di kepala.

“Mujur saya dapat merampas parang daripada tangan isteri lebih awal.

“Kalau tidak mungkin nyawa saya akan melayang atau mendapat kecederaan yang lebih teruk,” katanya.

Azlan kemudiannya membuat satu laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sehingga 24 Oktober ini untuk membantu siasatan.

“Kami juga merampas sebilah parang digunakan suspek ketika serangan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.