Terkejut 22 lembu kena curi

KUALA KANGSAR – Hajat seorang lelaki untuk menambah pendapatan sempena Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila 22 ekor lembu miliknya hilang dipercayai dicuri dari kandang berhampiran Kampung Ara Panjang, di sini, minggu lalu.

Khairi Sazizi menunjukkan pagar kandangnya yang rosak dipercayai angkara pencuri lembu terbabit.

Khairi Sazizi menunjukkan pagar kandangnya yang rosak dipercayai angkara pencuri lembu terbabit.

Khairi Sazizi Zainuddin, 48, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM40,000 setelah hampir semua ternakannya dicuri termasuk tiga ekor lembu yang ditempah untuk dikorbankan sempena Aidiladha.

Menurutnya, kejadian seumpama itu pernah berlaku di kawasan berhampiran, namun kehilangan lembu penternak terbabit tidak sebanyak dialaminya.

“Selama lapan tahun saya menternak lembu, ini pertama kali kejadian seperti ini berlaku kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairi Sazizi berkata, sebelum ini dia menghabiskan ribuan ringgit untuk membaiki kandang ternakannya terutamanya daripada aspek keselamatan, namun kecewa kerana insiden kecurian tetap berlaku.

Katanya, terdapat kesan potongan pada rantai pagar, malah kesan tayar lori jelas kelihatan di hadapan kandang lembunya.

“Buat kandang pun sudah belanja kira-kira RM6,000, belum campur kos-kos lain lagi, saya rasa kesal dan kecewa sebab pencuri ambil jalan mudah untuk dapatkan wang sedangkan kita berhempas-pulas bekerja,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.