Terjebak ‘cinta’ VIP

Firdaus di samping jentera kesayangannya.

Firdaus di samping jentera kesayangannya.

PERTAMA kali memandang jentera ini, saya sangka ia milik pemuda berkulit putih bermata sepet.

Namun sangkaan meleset, rupa-rupanya Myvi diubahsuai dengan konsep orang kenamaan (VIP) itu dimiliki jurutera muda berimej ala Korea, Firdaus Ismail, 30.

Sejak lebih setahun lalu anak muda berasal dari Shah Alam, Selangor ini terjebak dengan ‘cinta’ mengubahsuai kenderaan. Mulanya hanya sekadar suka-suka mengikut kawan. Namun diam tak diam, dalam tempoh singkat itu lebih 85 peratus rupa dalam dan luar kenderaan hatchback itu berubah hasil ideanya.

Banyak juga pertandingan auto show disertainya di beberapa negeri di seluruh semenanjung.

Terbaharu, tuah dalam pertandingan auto show di Karnival Karangkraf baru-baru ini, Myvinya dinobatkan kereta ‘Best of the best’ menewaskan lebih 80 kenderaan peserta lain.

Myvi milik Firdaus mempunyai tiga ton warna ini, dilengkapi tingkap tinted , stiker dan lampu bewarna biru yang menambah gaya.

Myvi milik Firdaus mempunyai tiga ton warna ini, dilengkapi tingkap tinted , stiker dan lampu bewarna biru yang menambah gaya.

Asal stail sport

Firdaus menitikberatkan konsep VIP ini bermula dari luaran. Menjadi perhatian apabila pintu hadapan dipasang scissor doors. Sistem air suspension melengkapkan gaya seperti kebanyakan kenderaan milik VIP. Jika di auto show pasti membuat mulut anak kecil sekolah rendah terlopong melihat jentera fabulous style ini berlabuh.

Apatah lagi badannya dengan tiga ton warna reptilia sumpah-sumpah seperti hijau, merah dan biru. Pemasangan stiker, kemasan krom, skirting, spoiler kustom, bampar depan dan belakang jenis passo melengkapkan gaya.

Ditambah dengan rim krom penuh 17 inci stail VIP.

Tanpa berselindung Firdaus memberitahu, asalnya beliau bermula dengan konsep sport pada luaran dan konsep VIP bagi bahagian kabin.
“Namun atas nasihat mereka lebih arif saya selaraskan dalam dan luarnya mengikut konsep VIP. Konsep sport itu hanya bertahan kira-kira empat bulan,” katanya.

Menjengah bahagian dalamnya pula, bahagian bumbung, tepi pintu dan alas kaki dibalut kemasan jahitan ala quilting. Kusyen stail VIP dan alas kaki mempunyai perincian batu permata. Panel coating walnut di kabin depan dan tepi pintu menambah ciri kemewahan.

Firdaus tidak lokek meletakkan dua televisyen LCD bersaiz 19″ dan 23″ di bahagian depan dan belakang kabin, dua monitor headrest dan dua sun visor DVD monitor. Penumpang bersebelahan pemandu pula pasti tidak bosan apabila boleh bermain dengan build in PS2 yang disediakan.

Berada dalam jentera dengan Interior Car Entertainment (ICE) dikuasai sistem audio ini pastinya mengujakan. Penuh dengan skrin!

Permainan mini kasino di tempat duduk belakang turut menambah gaya.

Biarpun terletak di bonet, Firdaus tetap mencipta ruang untuk sistem audionya yang berkonsepkan bar mini. Woofer di tengah diapit dengan empat mid bass. Dekornya pula botol minuman dan hiasan kristal.

Menurutnya, skrin diubahsuai daripada monitor komputer di bonet itu juga memberi hiburan apabila mahu menonton ketika bersantai bersama ahli keluarga mahupun di auto show.

Bahagian enjin turut mendapat sentuhan. Ruang enjin diwarnakan biru.

Enjin dan ram pipe dilengkapkan dengan kemasan krom.

Waktu malam juga, hampir keseluruhan jentera ini termasuk kabin diterangi kelipan lampu LED.

Ditanya sama ada tidak rasa membazir melaburkan sejumlah wang yang membolehkannya memiliki sebuah lagi kereta sama, Firdaus langsung tak kesal.

“Mungkin sebab minat. Apabila saudara dan orang suka lihat kereta ini pun sudah satu kepuasan,” katanya yang baharu lima bulan mendirikan rumah tangga.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.