Tergamam zink tercabut

KUALA LUMPUR – Tiga rumah di Kampung Pantai Dalam, Lembah Pantai, di sini antara yang terjejas dalam kejadian hujan lebat dan ribut petang kelmarin mengakibatkan kerosakan bumbung serta bekalan elektrik terputus.

Raja Nong Chik (tiga, kanan) meninjau keadaan longkang di Kampung Pantai Dalam ketika melawat mangsa ribut, kelmarin.

Raja Nong Chik (tiga, kanan) meninjau keadaan longkang di Kampung Pantai Dalam ketika melawat mangsa ribut, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Abdul Rahman, 70, berkata, dia tinggal berseorangan di rumah sebelum dua cucunya pulang dari sekolah ketika hujan lebat kira-kira jam 4 petang itu.

Menurutnya, dia tergamam apabila melihat zink rumahnya tercabut satu persatu sebelum jirannya mengetuk pintu rumah.

“Jiran terpaksa dukung dan bawa saya keluar rumah dengan keadaan saya yang basah kuyup, sebab saya tergamam bila zink rumah sudah tercabut satu persatu.

“Saya tergamam kerana terlalu sedih melihat keadaan rumah dibasahi  hujan,” katanya yang ditemui di rumahnya selepas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin melawatnya, malam kelmarin.

Raja Nong Chik yang juga calon BN Parlimen Lembah Pantai, sempat melawat tiga rumah mangsa ribut di Kampung Pantai Dalam serta beberapa rumah terbabit di kawasan lain dan  menyampaikan sumbangan daripada Tabung Amal Barisan Nasional
(BN) .

Katanya, beberapa perancangan juga disediakan bagi menyelesaikan masalah perparitan  tersumbat yang sering menyebabkan air melimpah ke dalam rumah di kawasan itu ketika hujan lebat.

“Untuk jangka masa panjang, saya akan pastikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi dan syarikat terbabit mengkaji dan menyelesaikan masalah ini.

“Saya juga akan cuba memindahkan beberapa penduduk di rumah yang sering dilanda masalah ini ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.