Terdapat 122 Objek Dikesan Data Satelit Baru Perancis Di Lautan Hindi

hishammuddin-1-565x376AGENSI Remote Sensing Malaysia (ARSM) telah menerima data imej satelit baru dari Airbus Defence and Space di Perancis semalam berkaitan objek yang ada kemungkinan datang dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata imej berkenaan telah dirakam pada Ahad lepas.

“ARSM telah membuat analisis ke atas data terbaru satelit berkenaan yang menunjukkan satu kawasan di Lautan Hindi dengan keluasan kira-kira 400 km persegi menunjukkan 122 objek berpotensi dari MH370.

“Sesetengah objek bersaiz kira-kira 1 meter panjang dan objek lain ia bersaiz berbeza, sesetengah objek berwarna terang yang dijangkakan bahan berupa pepejal, ia dikesan kira-kira 2,557km dari Perth, Australia,” kata Hishammuddin dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut beliau informasi itu segera diberikan kepada pihak berkuasa Australia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di koridor Selatan di Lautan Hindi.

“Maklumat data satelit yang diterima ARSM segera diberikan kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia di Perth semalam,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata perlu diingatkan kesemua objek berkenaan masih belum boleh disahkan daripada peswat MH370 tetapi ia adalah satu lagi petunjuk baru dalam mengesan pesawat berkenaan.

“Kita masih belum boleh membuat pengesahan objek berkenaan adalah serpihan pesawat MH370 bagaimanapun ini adalah satu lagi petunjuk baru yang akan membantu operasi SAR pesawat MH370,” katanya.

Dengan kemasukan data satelit dari Airbus berkenaan, sehingga kini terdapat empat petunjuk data imej satelit telah diterima dari Australia, China dan Perancis dengan menunjukkan objek yang berkemungkinan adalah serpihan pesawat itu.

Operasi SAR MH370 masuk hari ke-19 hari ini selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lepas ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat itu membawa 239 penumpang termasuk anak kapal dikendalikan oleh juruterbang MAS Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid. – MNH

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.