Tentera hamil 2 bulan maut

BENTONG  – Anggota tentera yang maut bersama-sama suami dan anaknya dalam kemalangan di Km49.0 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bukit Tinggi dekat sini pagi ini, sedang hamil dua bulan.

imageSuri rumah Asliza Abdullah, 32, berkata sepupunya Koperal Nik Zaieyahaliza Ya memaklumkan perkara itu kepadanya ketika mereka berhubung melalui laman sosial ‘Facebook’ bulan lepas.

“Saya tidak menyangka pertemuan dengan Allahyarham pada Ramadan lepas merupakan yang terakhir…kami memang rapat sejak kecil,” katanya kepada pemberita di bilik mayat Hospital Bentong hari ini.

Dalam kejadian 7.08 pagi itu, Nik Zaieyahaliza, 29, suaminya Koperal Jiman Raup, 32, dan anak mereka Nurul Damia yang berusia dua tahun, terbunuh apabila  kereta Perodua Alza yang dipandu Jiman merempuh sebuah lori tangki dari arah bertentangan.

Asliza berkata Nik Zaieyahaliza merupakan anak sulung daripada enam beradik dan beliau seorang yang periang dan rajin.

Beliau berkata ibu bapa Allahyarham kini menunggu jenazahnya dibawa pulang ke Jerteh, Terengganu untuk dikebumikan di Gong Tanah Merah.
Keluarga Jiman pula dijangka tiba dari Beaufort, Sabah malam ini.

Jenazah tiga beranak itu dimandikan dan dikafankan di Kem Tentera 25 Melayu, Bentong.

Sementara itu, seorang pegawai Maktab Tentera Diraja Sungai Besi yang enggan dikenali, berkata Nik Zaieyahaliza bertugas sebagai kerani di Bahagian Muzik maktab itu.

Allahyarham menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2003 sebelum bertugas di kem itu tiga tahun kemudian.

“Allahyarham memohon cuti untuk pulang ke kampungnya di Jerteh bagi menyambut Aidiladha. Beliau dijangka memulakan tugas hari ini,” katanya ketika ditemui di hospital itu.

Jiman pula bertugas di Bahagian Perkeranian maktab itu sejak April 2012. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.