Tak sempat larikan mesin ATM

SUNGAI BULOH – Panik mendengar penggera keselamatan berbunyi, sekumpulan penjenayah tidak sempat melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meskipun sudah berjaya menariknya keluar dalam kejadian di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Subang Perdana, awal pagi semalam.

Kakitangan bank memeriksa mesin ATM.

Kakitangan bank memeriksa mesin ATM.

Dalam kejadian sebelum jam 5.30 pagi itu, empat penjenayah tersebut merosakkan dua kamera litar tertutup dengan memotong wayar utama kamera bagi mengelak identiti mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek kemudiannya melilit rantai di sekeliling mesin tersebut sebelum menarik menggunakan kabel keluli yang diikat pada sebuah lori.

Menurutnya, siasatan melalui CCTV di premis berhampiran mendapati kesemua suspek memakai jaket yang menutup kepala.

“Suspek berusia dalam lingkungan 20-an berdasarkan saiz tubuh yang kurus serta jenis pakaian yang diguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sebuah mesin deposit wang (CDM) yang berada bersebelahan mesin ATM itu tidak terjejas.

Menurutnya, lori digunakan ditemui ditinggalkan di sebuah lorong, 500 meter dari lokasi kejadian.

Lori itu milik kedai perabot di Batu Tiga, Shah Alam.

“Kita sudah ambil keterangan pemilik kedai perabot itu yang memaklumkan lori itu kali terakhir dilihatnya Ahad lalu,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan ketiadaan pengawal keselamatan menjadi punca penjenayah mengambil kesempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457/511 kanun keseksaan.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.