Tak gentar hadapi Wan Azizah

Chew Mei Fun

Chew Mei Fun

KAJANG – Calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun tidak gentar berhadapan dengan lawannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, 23 Mac ini.

Bagaimanapun katanya meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri di saat akhir, namun penggantinya tidak jauh hebat dan BN tidak boleh memandang rendah keupayaan isteri Ketua Pembangkang itu.

“Bila kita bertanding pilihan raya, memang kita tidak akan tahu siapa calon terakhir akan bertanding.

“Sebab itu kita bersedia untuk menghadapi mana-mana calon dan kita tidak akan ambil ringan,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sg Chua, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pertandingan satu lawan satu antara BN dan PKR yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada proses penamaan calon di Stadium MPKJ, kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau meletakkan harapan tinggi untuk meraih sokongan pengundi jika BN terus bekerja kuat sepanjang tempoh berkempen pada minggu ini.

“Kalau kita kerja kuat, kita akan dapat keputusan yang baik, sedikit sebanyak kita dapat bawakan perubahan dan kesan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya akan menumpukan perhatian kepada kempen dan menyelesaikan masalah rakyat mengikut kemampuan.

“Selepas penamaan, kita akan perhebatkan kempen pilihan raya,” katanya lagi.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.