Syiah, al-Arqam terus dipantau

ROMPIN – Gerakan penyebaran atau pengamalan ajaran Syiah di Rompin masih belum ada namun pihak berkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin akan terus memantau sebarang ajaran yang tidak sealiran dengan ajaran Ahlul Sunah Wal Jamaah.

Adnan Mamat

Adnan Mamat

Pegawai Agama Islam Daerah (Kadi) Rompin, Adnan Mamat, berkata, setakat ini kes berkaitan ajaran Syiah di sini masih belum ada.

“Baru ini kita digemparkan dengan berita mengenai seorang imam telah ditahan di Muadzam Shah kerana disyaki mengamalkan ajaran Syiah tetapi suspek masih belum dibuktikan bersalah.

“Jadi saya harap isu ajaran Syiah ini tidak akan menular ke Rompin kerana sejarah mencatatkan daerah ini agak terkenal dengan ajaran-ajaran yang meragukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bagaimanapun, Adnan menyeru kepada masyarakat sekitar agar tampil memberi kerjasama dengan pihak berkuasa agar penularan ajaran yang meragukan ini dapat dibendung dan seterusnya dibanteras.

Katanya, masyarakat juga harus lebih menjiwai aliran Ahlul Sunah wal Jamaah dengan mendalami dan memahami ajaran tersebut.

“Seandainya ada sebarang ajaran yang meragukan tidak kira apa ajaran tetapi fokus adalah Syiah, orang ramai harus memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa agar kami dapat membaiki atau membetulkan keadaan.

“Saya juga galakkan umat Islam membaca buku tulisan Haji Said Haji Ibrahim yang merupakan bekas Mufti Sabah yang bertajuk Akidah Ahlul Sunah Wal Jamaah,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang keadaan semasa Global Ikhwan di Rompin selepas beberapa premis perniagaan diserbu dan barang-barang berkaitan ajaran al-Arqam dirampas, beliau menegaskan setakat ini tidak berlaku penyebaran ajaran terbabit terhadap masyarakat di luar.

“Gerakan Global Ikhwan ini lebih kepada sebuah perniagaan dan susah untuk dibuktikan mereka menganut ajaran selain Ahlul Sunah Wal Jamaah.

“Oleh sebab itu, pihak Paid Rompin tidak mengganggu operasi perniagaan mereka, Cuma dalam masa yang sama pemantauan akan terus dibuat,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.