Strategi hina Islam

image (2)

KUALA TERENGGANU – Negara ini tidak sesuai sebagai lokasi untuk sebarang penganjuran pesta arak, kata Pengerusi Biro Gerak Prihatin dan Penyayang Wanita Umno Terengganu, Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Mengulas isu penganjuran Oktoberfest di Selangor, beliau meminta mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mencemarkan kesucian Islam di negara ini kerana penganjuran seumpama itu bertentangan dengan Islam.

Zaitun berkata, penganjuran tersebut yang dipromosikan secara terbuka dianggap tidak wajar apatah lagi di sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Penganjuran sebegini memperlihatkan seakan-akan ada strategi untuk menghina Islam dan memporak-perandakan kemakmuran negara,” katanya.

Umno Selangor sebelum ini turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang meluluskan permohonan papan iklan pesta arak ‘Oktoberfest’ yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Shah Alam.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, kerajaan Selangor mengesahkan pihaknya tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak mengiklankan pesta tersebut.

Sehubungan itu, Zaitun yang juga Setiausaha Wanita Umno Terengganu berharap tindakan tegas perlu diambil supaya isu-isu sedemikian tidak berulang pada masa depan kerana ia boleh merosakkan imej Islam.

Tegasnya, pihak berkuasa tidak seharusnya memandang ringan perkara itu kerana dikhuatiri budaya tidak sihat semakin menular apatah lagi mempengaruhi anak-anak muda.

“Saya harap kita tidak sesekali membenarkan program ini dilaksanakan dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas supaya ia tidak menjadi amalan dan tidak berlaku ancaman (terhadap agama) di negara ini,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.