Skuad Hoki Negara Berjaya Pamer Aksi Berkualiti

FW324319_PH22_010514_HOKI-lprKUANTAN – Kejayaan skuad hoki negara menewaskan pasukan pilihan New Zealand pada suku akhir Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di sini hari ini mendapat pujian ramai termasuk Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah, yang turut menyaksikan anak buah Muhammad Dharmaraj Abdullah mencatatkan kemenangan 3-2 menerusi pukulan penalti di Stadium Hoki Indera Mahkota, menyifatkan Malaysia menampilkan permainan yang berkualiti.

Perlawanan tersebut terpaksa diputuskan menerusi pukulan penalti apabila kedua-dua pasukan itu terikat 4-4 selepas tamat masa penuh perlawanan.

“Kita dapat melihat sendiri macam mana cara permainan pasukan hoki negara yang mampu mendahului New Zealand 4-1 pada separuh masa pertama dan kemundiannya mereka cuba mengatasi kita dengan cepat namun penentuan penalti telah memihak kepada kita,” titah baginda kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Tengku Abdullah bertitah pemain juga telah berjaya memperagakan aksi yang baik setanding dengan pasukan yang berstatus lebih tinggi.

“Alhamdulillah…Alhamdulillah, penentuan penalti telah memihak kepada kita dan semua telah terbukti,” katanya.

Kritikan daripada luar bagaimanapun masih belum berakhir walaupun skuad hoki negara berjaya buktikan sesuatu hari ini, titah baginda apabila ditanya mengenai kritikan pedas yang diterima skuad negara sebelum ini setelah gagal mempamerkan aksi cemerlang pada dua perlawanan peringkat kumpulan.

Antara kritikan yang dilemparkan terhjadap skuad negara ialah pemain ‘lambat panas, bekas jurulatih remaja (Muhammad Dharmaraj) tidak berhak melatih skuad senior dan sebagainya.

Malaysia tercorot dalam Kumpulan B selepas diaibkan Perancis 3-2 dan 3-1 oleh Korea Selatan sebelum menang 4-3 ke atas Kanada.

Tengku Abdullah turut meluahkan rasa berpuas hati dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong memberi sokongan kepada pasukan negara hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan hoki negara,” titahnya.

Pada perlawanan separuh akhir Sabtu ini, Malaysia akan berdepan dengan Kanada apabila pasukan itu mengatasi Poland 3-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.