Sindiket Hasilkan Dokumen Palsu Tumpas

FW318582_PG03_140314_COP_PALSU-lprGEORGETOWN – Satu sindiket yang menghasilkan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman peribadi daripada sebuah institusi kewangan tumpas apabila polis menahan empat individu dalam serbuan Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata dua lelaki dan dua wanita berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Jaya, dekat sini.

“Kami menerima laporan daripada sebuah institusi kewangan pada Rabu yang memaklumkan terdapat sindiket menawarkan dokumen palsu kepada orang ramai untuk dapatkan pinjaman peribadi dan hasil maklumat yang diperolehi, anggota polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seberang Jaya.

“Di situ kami menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu antaranya sebuah komputer riba, enam keping sim kad, 35 set dokumen permohonan pinjaman, 46 cop pelbagai agensi, 26 cop pelbagai tanda tangan, 11 telefon bimbit dan sebuah pencetak,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menyerbu tiga rumah di sekitar Seberang Jaya dan menahan tiga anggota sindiket berkenaan.

Azmi berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan mencari pelanggan yang kesempitan wang dan mempelawa mereka mendapatkan pinjaman kewangan daripada sebuah institusi kewangan.

“Selepas pelanggan menyerahkan salinan kad pengenalan, sindiket terbabit akan menyediakan dokumen-dokumen palsu seperti slip gaji, surat pengesahan majikan dan lain-lain sebelum diserah kepada institusi kewangan,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu turut memberikan nombor telefon mereka untuk pihak bank membuat pengesahan majikan sama ada maklumat yang diberi betul atau sebaliknya.

Setakat ini sebanyak 17 permohonan pinjaman peribadi telah diluluskan institusi kewangan berkenaan dan difahamkan kes melibatkan kerugian ribuan ringgit, katanya.

“Sindiket itu akan mengenakan caj berdasarkan berapa banyak pinjaman yang diperoleh peminjam daripada institusi kewangan. Difahamkan sindiket itu baru sahaja beroperasi,” katanya. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.