Si buta tidur merempat di kaki lima

GEORGETOWN – Seorang warga emas yang cacat penglihatan terpaksa menghabiskan sisa kehidupan, dalam keadaan yang menyedihkan dengan menjadikan tempat letak kenderaan milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Air Itam di sini sebagai tempat perlindungan.

Murugiah (kiri) menunjukkan nasib warga emas yang tiada tempat tinggal.

Murugiah (kiri) menunjukkan nasib warga emas yang tiada tempat tinggal.

Sayu mata melihat kehidupan warga emas itu yang dikatakan hanya nyamuk yang menjadi temannya setiap malam ketika dia melelapkan mata.

K Muniandy, 74, hampir 18 bulan melalui hakikat itu selepas mata kanannya buta akibat satu kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Dia yang hidup sebatang kara kini hanya mengharapkan bekalan makanan yang diberikan sebuah gereja di Farlim di sini.

Muniandy yang pernah bekerja sebagai kelindan lori, berkata kemalangan jalan raya itu yang menimpanya merupakan satu titik hitam dalam kehidupannya.

“Saya tidak mampu lagi bekerja yang membuatkan saya hilang mata pencarian dan kini hidup merempat dengan hidup mengharapkan ihsan orang awam.

“Walaupun, saya pernah membuat permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun sehingga kini tiada sebarang jawapan yang diterima dan saya tidak tahu nak mengadu nasib saya kepada siapa,” katanya dengan nada sedih ketika ditemui media, kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHPP), P Murugiah melawat warga emas itu berkata, pihaknya meminta kerajaan negeri membina pusat perlindungan untuk warga emas yang tersisih.

Beliau berkata, pembinaan pusat perlindungan tersebut perlu disegerakan memandangkan semakin ramai warga emas hidup merempat di jalanan di negeri ini.

“Ada antara mereka tidur di kaki lima dalam keadaan kesihatan tidak menentu tanpa pakaian bersih dan makanan seimbang. Justeru kita minta  kerajaan negeri mengambil tanggungjawab membela nasib mereka,” katanya.

Buat masa ini, pihak PHPP membantu menempatkan Muniandy di sebuah pusat jagaan warga emas untuk sementara waktu.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada Muniandy boleh melalui akaun bank Maybank iaitu 157335064580 di atasa nama Muniandy Kolandai.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.