Shila Amzah Berjaya Mara Ke Final ‘I Am Singer’

shila1

Alunan suara yang lantang dan merdu dari Shila Amzah sememangnya akan memberikan satu perasaan yang mampu membuat kita turut serta bernyanyi bersama disamping menimbulkan satu perasaan yang membanggakan pada setiap persembahan beliau.

Pada Februari lepas, Shila Amzah telah menyertai satu pertandingan di China iaitu ‘I Am Singer’ musim kedua yang kini telah pun berlangsung sebanyak 12 episod.

‘I Am Singer’ merupakan satu pertandingan yang disertai oleh bintang-bintang yang sudah mempunyai nama besar dan pilihan pemenang akan ditentukan melalui undian para penonton. Kehebatan suara Shila sememangnya telah memukau pendengaran kita pada setiap persembahan beliau.

Kepada yang belum tahu, Shila Amzah mula menyertai ‘I Am Singer’ pada minggu ketujuh dimana Shila telah mendendangkan lagu ‘Xiang Ni De Ye’ yang bermaksud ‘Dikala Malam, Ku Merinduimu’ di mana lagu tersebut telah melonjakkan nama Shila di persada antarabangsa.

Begitu hebat impak nyanyian Shila kerana mendapat tempat kedua sejurus Shila menyertai ‘I Am Singer’. Daripada riak wajah penonton juga, jelas terpancar keterujaan mereka terhadap kelunakan suara Shila Amzah.

Ternyata Shila tidak menghampakan peminatnya kerana beliau berjaya mara ke minggu akhir. Shila akan berentap bersama dengan 7 lagi peserta seperti G.E.M. (Hong Kong), Han Lei (China), Gary Chaw (Malaysia), Zhang Jie (China), Phil Chang (Taiwan) dan Zhou Bichang (China) pada hari ini, Jumaat 4 April 2014.

Shila yang ketika ini berada di China berasa amat bersyukur dan teruja kerana beliau mara ke pusingan akhir ‘I Am Singer’ untuk musim kedua ini.

“Saya telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk persembahan saya pada malam final nanti. Kami di sini diberi arahan untuk bersedia dengan 2 buah lagu di mana pusingan pertama saya akan berduet bersama salah seorang penyanyi luar, dan jika rezeki berpihak kepada saya dan berjaya mendapat tempat 5 tertinggi, saya akan mara ke pusingan kedua di mana saya akan menyanyi solo dan dari situ, hanya undian daripada peminat yang akan menentukan sama ada saya berjaya merangkul sebagai juara atau tidak”.

“Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya untuk malam final nanti, dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong saya sejak saya bergelar sebagai seorang penyanyi’, kata Shila Amzah.

Pada peringkat akhir nanti, para peserta akan berduet bersama artis pilihan mereka pada pusingan pertama dan pusingan kedua adalah nyanyian secara solo. Selepas tamat pusingan pertama, hanya 5 peserta yang mendapat undian tertinggi sahaja akan mara ke pusingan kedua iaitu ke ‘Grand Finale’.

Kekuatan vokal Shila memang tidak boleh disangkal lagi, marilah kita sama-sama berdoa agar Shila sekali lagi dapat mengharumkan nama industri muzik tanah air dan juga nama Malaysia untuk kali yang kedua. ‘I Am Singer’ musim pertama telah dimenangi oleh Yu Quan dari China, siapa tahu pada musim kedua ini dimenangi oleh rakyat Malaysia yang bernama Shila Amzah.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.