Shamsul Iskandar kesal usul pengintipan ditolak

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) kesal apabila usul beliau berhubung isu keselamatan akibat aktiviti pengintipan negara asing di negara ini dihalang untuk dibahaskan.
image (4)
Shamsul juga mempertikaikan tindakan itu sambil menyifatkan usul itu sepatutnya mendapat perhatian serius dan wajar dibahaskan dalam Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan kepentingan ramai dan mencabar kedaulatan negara.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab negara-negara ini mengintip aktiviti-aktiviti pemimpin negara merupakan satu tindakan biadap serta mencabar kedaulatan negara.

“Lebih malang lagi negara jiran seperti Singapura juga terlibat dalam pengintipan itu dan ia telah melanggar prinsip kepercayaan kita selama ini,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, dekat sini, hari ini.

Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dibawa Shamsul bagi mengecam Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura berhubung dakwaan pengintipan terhadap Malaysia yang boleh menjejaskan negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul itu ditolak kerana beliau difahamkan Kementerian Luar telah mengemukakan nota bantahan dan memanggil Duta Besar AS dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk penjelasan lanjut.

“Tindakan telah dibuat, dengan itu perkara ini tidak perlu disegerakan, saya menolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1),” katanya selepas selesai sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Sementara itu, menurut Shamsul, merujuk kepada pendedahan akhbar Der Spigel dan Sydney Morning Herald yang melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden bahawa berlaku risikan dibuat ke atas Malaysia oleh Kedutaan Amerika dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

Dakwanya, Singapura juga didedahkan media Belanda, NRC Handelsblad sebagai turut membantu menyediakan akses komunikasi dan menjadi rakan utama dalam kumpulan perisikan “5-Eyes” yang diketuai AS bagi tujuan merakam perbualan telefon dan memantai rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau mengulangi mendesak terhadap kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengeluarkan pendirian yang tegas dan mengecam sekerasnya aktiviti pengintipan ketiga-tiga negara tersebut.

“Beberapa tindakan tegas pimpinan negara lain yang didedahkan berlakunya aktiviti pengintipan ke atas negara mereka seperti Brazil, Jerman dan Indonesia sewajarnya kita contohi,” katanya lagi.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.