Seorang Tentera Hilang Ketika Mengikuti Latihan

tenteraBESUT – Seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan ketenteraan di Lata Belatan dekat Jabi di sini dilaporkan hilang petang semalam selepas pergi ke sungai berdekatan perkhemahan latihan.

Koperal Nik Azizi Mohd Nor, 31, anggota Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Terengganu dikatakan dilihat pada kali terakhir pada kira-kira 6.15 petang ketika pergi ke sungai untuk mandi dan mengambil air sembahyang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria kehilangan Nik Azizi yang berasal dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan disedari ketika pasukannya sedang bersiap sedia untuk melakukan latihan apabila didapati tiada di tempat berkumpul.

“Setelah usaha mencari gagal dilakukan oleh semua anggota tentera sehingga ke puncak Gunung Tebu berdekatan sehingga malam tadi, akhirnya kumpulan tentera berkenaan membuat laporan di Balai Polis Jerteh di sini pagi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pencarian di sini hari ini.

Pasukan terdiri 206 anggota dan 12 pegawai itu menjalankan Latihan Pasak Bumi di Lata Belatan sejak petang Selasa lepas.

Kamaruddin berkata sebaik sahaja menerima laporan, pasukan polis terdiri 20 anggota dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, siasatan awal pihaknya telah menemukan barang-barangan kepunyaan Nik Azizi seperti beg, baju dan seluar di tapak perkhemahan tanpa diusik.

Beliau berkata kawasan tumpuan pencarian ialah di kawasan Sungai Belatan.

Katanya berdasarkan soalan yang diajukan kepada rakan-rakan terdekat, anggota tentera itu didapati tidak berdepan sebarang masalah seperti murung dan dalam berkeadaan biasa.

Sementara itu, bapa anggota tentera itu, Mohd Nor Mis, 58, ketika ditemui di lokasi mencari berkata beliau dan isterinya Nik Esah Nik Teh, 56, terus datang sebaik dimaklumkan pegawai tentera mengenai kehilangan anaknya itu.

Katanya, kali terakhir anak ketiganya itu daripada enam beradik pulang ke rumahnya di Rumah Murah Jaya, Semerak pada minggu lalu untuk memaklumkan yang dia akan menjalani latihan di Lata Belatan sebelum ditukarkan ke Lahad Datu, Sabah tidak lama lagi.

Katanya sebaik mendapat berita kehilangan anaknya itu, beliau sekeluarga dan penduduk kampung melakukan solat hajat memohon anaknya itu ditemui dengan selamat.

Mohd Nor yang merupakan seorang pemandu kereta sewa berkata anaknya itu ingin bertunang pada akhir tahun lalu tetapi terpaksa ditangguh kerana tugas. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.