Saya tak serik turun ke laut

TUMPAT – “Saya tidak serik untuk turun ke laut kerana ia adalah punca rezeki saya sejak 20 tahun lalu,” kata nelayan yang hilang di laut selama 19 hari yang disangka oleh keluarganya sudah meninggal dunia.

Abdul Aziz ditemani isteri, Asiah tidak serik untuk turun ke laut lagi walaupun pernah bertarung nyawa ketika hanyut di laut selama 19 hari.

Abdul Aziz ditemani isteri, Asiah tidak serik untuk turun ke laut lagi walaupun pernah bertarung nyawa ketika hanyut di laut selama 19 hari.

Abdul Aziz, 58, berkata, bertarung nyawa selama 19 hari di laut dibadai ribut dan dikejar lanun serta hanyut sehingga ke perairan Vietnam tanpa bekalan makanan, tidak sedikit pun meninggalkan kesan padanya.

“Saya akan turun ke laut kerana inilah punca rezeki sejak umur belasan tahun lagi.

“Dengan pekerjaan ini juga saya dapat membesarkan tujuh anak sehingga ada yang berjaya menjejak kaki ke universiti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mertuanya di Kampung Pulau Gorek di sini, semalam.

Abdul Aziz yang tinggal di Pulau Seratus berkata, walaupun isterinya, Asiah Ismail, 51, tidak membenarkannya dia turun ke laut lagi, tetapi dia nekad meneruskan pekerjaannya itu.

“Alah bisa tegal biasa bagi seorang nelayan dibadai ribut, lagi pun sebelum ini saya sudah lali dengan pengalaman ngeri di laut apabila pernah suatu ketika itu hampir lemas apabila bot terbalik di pukul ombak.

“Cuma pengalaman selama 19 hari hanyut di laut adalah pengalaman paling pahit dalam hidup saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menempuh saat getir itu ingatannya tidak pernah lekang kepada anak kembarnya, Nursyakira dan Nursyakila, 16.

Dalam pada itu, Abdul Aziz amat terhutang budi kepada nelayan Vietnam yang menyelamatkannya apabila memberi bekalan makanan dan empat tong diesel dan kompas membolehkannya meneruskan perjalanan pulang selepas hanyut di perairan negara Vietnam.

Saudara kepada Abdul Aziz, Mohd Yusof Abdul Rahman, 51,  kesal dengan sikap kurang prihatin pekerja pelantar minyak yang tidak memberikan pertolongan kepada bapa sepupunya itu selepas bot nelayan Vietnam menunda ke arah pelantar minyak itu.

“Orang asing sanggup bantu, tetapi rakyat Malaysia tidak mengendahkannya sedangkan ketika itu dia dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Kelmarin Abdul Aziz yang dilaporkan hilang di laut selama 19 hari termasuk dihanyutkan ke perairan Vietnam ditemui selamat oleh pekerja Perhentian Island Resort kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Perhentian, Terengganu.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.