‘Saya tak cari masalah dengan mak’

Arshad dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Arshad dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU – “Saya bukan cari masalah dengan mak, tapi sebenarnya mak yang cari masalah dengan saya. Mak sengaja reka cerita sebab dia memang nak cari punca supaya saya kena kurung.

“Bila saya kena kurung, mak memang akan senang hati sebab setiap kali dia tidak mahu bagi duit yang saya minta, saya akan pegang pisau ugut dia,” demikian alasan Arshad Shafie, 41, selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Celoteh Arshad di dalam kandang tertuduh itu turut menggamatkan seketika suasana di kamar mahkamah dengan gelak tawa orang awam yang berada di galeri awam mahkamah berkenaan.

Terdahulu, Arshad mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebilah pisau terhadap ibunya, Asmah Sulaiman, 62, dengan niat hendak menyebabkan kematian kepada warga emas itu.

Arshad yang memiliki rekod pesakit mental sejak 20 tahun lalu mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Batu Enam, di sini, pada 28 Januari lalu, jam lebih kurang 7.10 malam.

Dengan itu, Arshad mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Arshad direkodkan dan mendengar celotehnya itu, Rozianti mengarahkan Arshad dihantar ke Hospital Permai Tampoi, Johor Bharu, bagi mendapatkan rawatan.

Rozianti kemudian menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan.

Sebelum itu, Arshad dengan penuh yakin memaklumkan kepada mahkamah yang dia akan membela dirinya sendiri kerana tidak mempunyai wang untuk melantik peguam.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.