Sabre hijrah demi karier

DEMI masa depannya sebagai pemain profesional, Sabre Mat Abu mengambil keputusan meninggalkan kem Kedah untuk menyarung jersi PDRM bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan, lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.

Sabre (belakang) bakal menyarung jersi PDRM, musim depan.

Sabre (belakang) bakal menyarung jersi PDRM, musim depan.

Kata bekas pertahanan kebangsaan itu, penghijrahannya ke PDRM juga disebabkan beberapa faktor antaranya peluang bekerjasama dengan pengendali baharu pasukan tersebut yang juga antara jurulatih terbaik di negara ini.

“Sebagai pemain profesional, saya harus mementingkan masa depan kerana inilah sumber periuk nasi saya. Selain itu, saya juga ingin mencuba suasana baharu.

“Disebabkan itu, saya memohon kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) agar saya dilepaskan meskipun masih mempunyai baki kontrak satu tahun dengan Skuad Kenari,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Sabre turut menjangkakan persaingan sengit bakal berlaku dalam saingan Liga Premier musim depan.

Katanya, dia akan memberikan komitmen terbaik bagi membuktikan keputusan menyarung jersi skuad Sang Saka Biru itu tidak sia-sia.

“Setiap pasukan dalam saingan Liga Premier sedang merancang memperkuatkan pasukan masing-masing. Bagi saya, bukan sahaja PDRM, setiap pasukan akan merasai situasi itu.

“Semua pasukan berusaha melayakkan diri ke Liga Super. Apa yang pasti, saingan Liga Premier akan tampil lebih hebat dan menarik,” katanya.

Selain Sabre, PDRM berjaya menyambar khidmat pemain Sarawak, Bobby Gonzales, V Thirumurugan (Perak), Azi Shahril Azmi (Felda United), Ezrie Shafizie Sazali (JDT), Abdul Latif Suhaimi (T-Team), Arman Fareez Ali (Kedah) serta Azizon Abdul Kadir (Kuala Lumpur).

Difahamkan, untuk pemain import, PDRM mengambil pemain pertahanan tinggi lampai Perak musim ini, Rafael Souza, 29 dari Brazil dan sedang mencari dua lagi pemain. Salah satunya dari Australia.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.