Firmino, pemain tengah berbakat berusia 23 tahun telah meledak 47 gol daripada 151 penampilan bersama Hoffenheim sejak menyertai kelab Jerman itu pada 2011.

Tiada butiran dinyatakan mengenai tempoh kontrak atau yuran perpindahan, namun difahamkan Reds sedia mengikat Firmino menerusi kontrak jangka panjang dan akan membayar AS$44.13 juta (RM165.80 juta) kepada Hoffenheim.

Biarpun baru berusia 20 tahun ketika menyertai Hoffenheim, namun Firmino berjaya mematangkan permainannya bersama kelab itu sehingga dipilih sebagai ketua pasukan pada usia yang muda.

Malah, peningkatan besar yang ditunjukkan pemain kelahiran Maceio, Brazil itu turut menarik minat beberapa kelab besar Eropah untuk memikatnya, termasuk Manchester United, namun Firmino akhirnya memilih Liverpool.

“The Reds berdepan persai­ngan yang hebat daripada kelab Liga Perdana dan Eropah untuk membawa masuk pemain ini ke Anfield.

“Dia mempunyai naluri yang hebat dalam menjaringkan gol, selain seorang yang kreatif. Kami harap bakat Firmino akan terus berkembang bersama Liverpool.

“Liverpool sudah lama mengikuti perkembangan pemain ini dan bertindak pantas untuk mendapatkannya. Kami harap, dia akan memperagakan kehebatan di Anfield bermula dari Ogos ini,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.

Serba boleh dan mahir, Firmino mampu beraksi di pelbagai posisi dengan baik, kelebihan yang membolehkan dia me­nyarung jersi Brazil buat kali pertama, tahun lalu.

Firmino merupakan pembe­lian terbaharu Liverpool selepas James Milner, Danny Ings dan penjaga gol, Adam Bogdan. – REUTERS