Restoran kenakan harga cekik darah

Anggota penguat kuasa KPDNKK WPKL ketika pemeriksaan di premis restoran terkenal di Jalan Tunku Abdul Rahman, semalam.

Anggota penguat kuasa KPDNKK WPKL ketika pemeriksaan di premis restoran terkenal di Jalan Tunku Abdul Rahman, semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNKK WPKL) memberikan tempoh tiga hari kepada pengusaha sebuah restoran nasi beriani terkenal di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka mengenakan harga ‘cekik darah’ kepada pelanggan.

Pengarahnya, Muez Abd Aziz berkata, ia selaras dengan tindakan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, yang dikeluarkan terhadap pengusaha premis berkenaan, dalam operasi semalam.

Menurutnya, menerusi dua notis yang diberikan itu, pihak pengusaha perlu tampil memberikan penjelasan termasuk mengemukakan segala dokumen bukti sekiranya menyifatkan harga yang dikenakan itu adalah munasabah.

“Sekiranya mereka boleh beri kita alasan kukuh di mana harga yang ditetapkan itu munasabah dengan kos modal seperti bahan mentah, ia bukan satu kesalahan.

“Bagaimanapun jika mereka gagal kemukakan sebab ataupun didapati alasan tidak munasabah, tindakan selanjutnya akan dikenakan dan jika melibatkan kesalahan berulang, boleh dikenakan tindakan mahkamah.

“Untuk kesalahan bawah notis ini, tindakan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada individu dan jika melibatkan pertubuhan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan,” katanya pada sidang media selepas Operasi Pematuhan GST-Catut KPDNKK & Kastam di sini, semalam.

Sementara itu, pemerhatian di dua cawangan restoran berkenaan mendapati harga yang dikenakan bukan hanya tidak munasabah, malah berbeza walaupun melibatkan dua restoran dan menu sama.

Contohnya harga teh o ais dan teh ais ditetapkan RM3 dengan saiz gelas yang sama dan nasi putih dicaj RM3 sepinggan.

Manakala harga telur rebus juga didapati dinaikkan dari RM1.60 kepada RM2.00.

Dalam operasi sama, pemeriksaan turut dilakukan di pasaraya Kompleks Sogo melibatkan barangan yang dikenakan caj GST.

Muez berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak pasar raya mematuhi peraturan, namun beberapa perkara perlu dibuat penambahbaikan.

“Kita lihat ada tag 0 caj GST untuk rak-rak tertentu namun kita telah minta agar pihak Sogo perincikan untuk setiap produk untuk memudahkan pelanggan memahami lebih jelas,” katanya.

Untuk rekod, sejak 1 April lalu, sebanyak 465 premis telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima kes melibatkan peniaga yang mengenakan harga tinggi terhadap barang jualan.

Daripada lima kes berkenaan, sebanyak 25 notis dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Lima pasukan khas terdiri daripada pegawai KPDNKK WPKL dan Kastam digerakkan untuk pemantauan setiap aduan diterima.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.