Rayu dihantar pulang

JERANTUT – Seorang warganegara Indonesia yang mendapat taraf pemastautin tetap di negara ini memohon mana-mana pihak tampil membantunya untuk pulang ke negara asalnya.

Pondok yang dibina oleh insan yang bersimpati dengan nasib menimpa Samburang.

Pondok yang dibina oleh insan yang bersimpati dengan nasib menimpa Samburang.

Warganegara Indonesia itu, Samburang Mohd Ali, 56, berkata, dia mula menjejakkan kaki di negara ini pada 1980 dan hidup merantau demi mencari rezeki.

Menurutnya, dia kini tidak lagi mampu untuk bekerja kerana sakit dan merayu supaya ada pihak yang sudi menghantarnya pulang ke kampung halamannya di Sumbawa, Indonesia.

“Di sini saya tidak ada keluarga dan hidup sebatang kara. Di kampung halaman masih ada saudara mara yang boleh menjaga saya dalam keadaan sakit ini. Saya mendapat taraf penduduk tetap pada 1981 dan beralamat di Felda Tersang Dua, Raub.

“Sekarang saya hanya tinggal di dalam pondok yang dibina atas belas ihsan seorang hamba ALLAH yang bersimpati dengan nasib saya, berdekatan jalan menuju ke Felda Sungai Tekam,” katanya.

Samburang berkata, dia juga tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana faktor kesihatan tidak mengizinkan, malah meneruskan hidup bergantung pada makanan diberikan oleh jiran serta mereka yang bersimpati.

Menurutnya, dia amat berharap dapat pulang ke kampung halamannya kerana merindui ahli keluarga yang sudah lama terpisah.

“Saya merayu untuk dihantar pulang dan dalam keadaan sekarang saya tidak mampu mengumpulkan duit untuk perbelanjaan pulang ke Indonesia. Bantulah saya kerana saya benar-benar tidak berdaya sekarang.

“Saya begitu sedih memikirkan nasib diri sendiri kerana tidak dapat menguruskan diri seperti biasa,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.