Rasuah penjawat awam serius

 

Azam (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas antara Yaacop (dua, kiri) dan Alias (dua, kanan) di Pejabat SPRM Perlis, Bangunan Persekutuan, semalam.

Azam (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas antara Yaacop (dua, kiri) dan Alias (dua, kanan) di Pejabat SPRM Perlis, Bangunan Persekutuan, semalam.

KANGAR – Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi melibatkan sindiket di negara ini dengan negara jiran sudah berada di tahap serius.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki yang tidak menyebut negara jiran itu berkata, operasi sindiket terbabit berjalan dengan terancang dan bukan dilakukan oleh individu.

“Penyelewengan ini sampai tahap serius kerana unsur-unsur rasuah membabitkan penjawat awam dari pelbagai agensi sangat jelas manakala syarikat pembekal tidak terbabit,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Pengarah SPRM Perlis antara Alias Darus kepada Yaakop Angah di sini, semalam.

Alias ditukarkan ke Kedah sebagai timbalan pengarah mulai 15 Februari lalu manakala Yaakop sebelum ini merupakan Ketua Cawangan SPRM Seberang Prai, Pulau Pinang.

Menurut Azam, ketirisan bermula di lapangan akibat sistem dan prosedur yang longgar selain harga bahan bakar itu antara yang termurah dalam kalangan negara Asean menyebabkan banyak pihak ingin mencari keuntungan mudah.

Katanya, pemantauan ketat di tempat-tempat yang dikenalpasti telah dilaksanakan sejak isu terbongkar malah SPRM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk membanteras penyelewengan itu.

“Pengarah-pengarah SPRM negeri akan turut dilibatkan jika timbul isu berkaitan di negeri terbabit, ” katanya.

Sebelum itu, Yaakop berkata pihaknya menerima 29 maklumat dakwaan rasuah sehingga semalam dan membuka tujuh kertas siasatan membabitkan tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa dan satu kes telah didakwa di mahkamah.

Katanya, sebanyak 37 kertas siasatan dibuka hasil 184 maklumat diterima tahun lalu yang kebanyakannya membabitkan masalah disiplin penjawat awam.
SPRM Perlis mengesyorkan tindakan tatatertib dan teguran dibuat terhadap mereka.

Sementara itu, SPRM Perlis percaya ketirisan bahan api ke negara jiran ada melibatkan anggota agensi penguatkuasaan dalam negeri ini.

Yaacop berkata, ketirisan itu boleh menyebabkan ekonomi negara terjejas, justeru pihaknya akan melakukan intipan dan risikan secara berterusan di kawasan yang berisiko berlakunya rasuah terutamanya di sempadan negara.

Katanya tindakan itu diambil berikutan beberapa siri rampasan bahan api seperti diesel dan petrol yang disyaki mahu diseludup keluar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagi memudahkan urusan risikan, pihak kami akan mengukuhkan kerjasama antara ketua dan anggota di setiap jabatan dan agensi terlibat.

“Kita sedang berusaha menumpaskan sindiket  dan sesiapa sahaja anggota yang terlibat, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan ekonomi negara,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.