Rakyat Kelantan No 3 tertinggi hisap rokok

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

KOTA BHARU – Sebanyak 27 peratus rakyat Kelantan dikenal pasti merokok, angka yang lebih tinggi berbanding 24 peratus di peringkat nasional.

Justeru, ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana jumlah itu adalah ketiga tertinggi dalam negara.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, mereka yang merokok perlu menghormati orang ramai yang tidak merokok kerana kesan terhadap tabiat itu diperoleh kedua-dua pihak.

Bagi tujuan itu, pihaknya mengadakan pelbagai kempen termasuk menubuhkan penguatkuasaan pendidikan bagi memastikan perokok tidak merokok di kawasan larangan yang boleh menjejaskan orang ramai.

“Kita akui dari segi penguatkuasaan ia sukar, tahun lepas 770 saman dikeluarkan dan ia kecil berbanding perokok, oleh itu di Wisma Persekutuan mengambil pendekatan lain seperti kaedah penguatkuasaan pendidikan.

“Kakitangan daripada bukan jabatan kesihatan akan dilantik ini dan dibekalkan dengan buku notis amaran yang bertujuan untuk menegur serta menasihatkan agar jangan merokok di kawasan larangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Wisma Persekutuan Bebas Asap Rokok di sini, hari ini dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa turut menegur segelintir penjawat awam yang merokok termasuk jabatan kerajaan di Putrajaya yang sepatutnya tidak berlaku.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razin berkata, dalam tempoh Januari hingga 1 Mac, dua mangsa denggi di Kota Bharu meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa sedang disiasat.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 764 kes dilaporkan di seluruh Kelantan dan 637 daripadanya berlaku di Kota Bharu, peningkatan 237 peratus berbanding tahun lalu.

“Oleh itu, kita mahu semua pihak terutama penduduk Kota Bharu sentiasa menjaga kebersihan, dengan cara ini wabak denggi dapat dihapuskan,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.