Rahsia Lisdawati miliki badan menawan

11 tahun berada dalam arena seni tempatan membuatkan aktres ini cukup dikenali ramai.

Meskipun sudah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Fauzi Nawawi, dia masih menjadi buruan pengarah sehingga ke hari ini.

Namun di sebalik semua itu, ibu kepada dua cahaya mata, Nur Aini Farhana dan Nur Aina Fazneesya sering menjadi perhatian kerana masih kekal menawan seperti anak dara.

Lisdawati

Lisdawati

Agaknya apa rahsia pelakon Takdir Qismah ini untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing dan menawan ini?

Jom kita selami tip yang menjadi amalan pelakon jelita berusia 35 tahun ini.

Anda seorang isteri dan juga ibu, namun melihat bentuk badan anda, ia tidak berubah seperti anak dara. Boleh kongsi bagaimana anda mengekalkan bentuk badan sebegini?

Saya seorang yang konsisten dalam melakukan senaman seperti aerobik, pun begitu saya tiada masa untuk bersenam di luar. Jadi aerobik ini akan saya lakukan sekali seminggu. Manakala untuk memastikan tubuh saya sentiasa ideal dan bertenaga, saya akan melakukan aktiviti skipping setiap hari. Biasanya, setiap sesi sebanyak 200 kali. Dalam sehari pula, saya boleh lakukan sebanyak lima sesi bersamaan 1,000 kali sehari.

Anda juga sibuk dengan penggambaran dan tugas sebagai isteri serta ibu, bilakah waktu anda melakukan skipping?

Begini, saya tidak pernah menentukan waktu tertentu untuk skipping kerana ia tidak memerlukan masa yang panjang. Jadi, bila ada kesempatan sahaja, saya terus lakukannya. Adakalanya, saya juga akan lakukannya pada waktu malam. Bagi saya, lebih baik untuk skipping pada waktu yang kita benar-benar lapang supaya tidak rasa terikat dengan aktiviti tersebut.

Sebagai duta Slimworld pula, adakah ia membantu anda dalam mengekalkan bentuk badan yang dimiliki kini?

Saya juga mendapatkan rawatan di Slimword sebagai dutanya, namun saya lakukannya di masa lapang sahaja. Apa pun, ia bukan bererti saya boleh mengabaikan senaman, lagipun untuk mendapatkan bentuk badan yang sihat, kita perlu berpeluh dan untuk memberikan kesan terbaik juga, kita boleh melakukan kedua-duanya sekali jika berpeluang.

Pernahkah anda mengalami peningkatan berat badan sebelum ini?

Sebenarnya di zaman persekolahan dahulu saya pernah mengalaminya. Walaupun aktif bersukan, saya seorang yang kuat makan. Jadi, apabila berhenti bersukan, berat saya naik mendadak. Bagaimanapun, apabila menyedari berat badan semakin bertambah, saya mula mengurangkan pengambilan makanan dan amalkan joging setiap petang. Alhamdulillah, berkat usaha gigih saya, saya berjaya mendapatkan berat badan ideal dalam masa tiga bulan sahaja.

Beralih kepada cara pemakanan yang anda amalkan pula, adakah anda seorang yang mengawal pengambilan makanan atau melakukan diet?

Saya tidaklah terlalu mengawal makan, namun saya punya cara tersendiri untuk memastikan makanan yang diambil tidak berlebihan. Misalnya, jika sudah mengambil sarapan berat sebelah pagi, saya hanya akan makan pada sebelah petang pula. Cuma jika ada penggambaran, barulah saya akan mengambil makanan berat pada waktu tengah hari. Manakala untuk makan malam pula, saya tidak akan mengambil nasi sebaliknya hanya makan makanan yang berasaskan sup, tomyam atau kuetiau. Pun begitu, semua makanan tersebut akan diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Tip lain yang anda amalkan?

Biasanya dari segi makan, saya akan elakkan untuk mengambil pelbagai jenis makanan dalam satu masa yang sama. Contohnya, jika sudah makan daging, saya akan makan daging sahaja tidak di campur dengan makanan laut lain seperti ikan, udang dan sebagainya.

Saya juga akan minum air suam sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Untuk air manis pula, saya hanya minum teh o sahaja.

Bagaimana pula dengan kesihatan dalaman anda, adakah anda turut mengambil suplemen?

Saya sudah mengambil suplemen sejak 2003 lagi. Ketika itu saya sangat aktif dan saya merasakan suplemen perlu diambil supaya badan mendapat tenaga dan stamina secukupnya.

Anda juga mempunyai kulit wajah serta rambut yang sihat, boleh kongsi cara anda merawatnya?

Yang paling penting, wajah perlu berehat tanpa sebarang solekan. Saya juga mengamalkan penjagaan rutin untuk wajah setiap hari. Bagi rambut pula, saya akan dapatkan rawatan di salun, itu pun bergantung kepada kekerapan saya terlibat dengan penggambaran. Bagaimanapun, saya juga suka melakukan rawatan sendiri di rumah.

Aktiviti anda di waktu lapang?

Saya paling suka menjahit manik. Bagi saya ia mendatangkan kepuasan kepada diri. Dalam pada itu, anak-anak tidak pernah diabaikan, bila ada waktu saya akan bawa mereka keluar selain melihat bapa mereka di lokasi penggambaran.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.