Pura-pura jadi pelanggan

KUALA TERENGGANU – Taktik licik dua lelaki berpura-pura membeli pelbagai barang dalam kuantiti banyak berjaya mengelirukan seorang pembantu kedai runcit, di Jalan Budiman, di sini, petang semalam.

Norsuhada menunjukkan tempat kotak berisi stok Nescafe yang dilarikan dua lelaki, di kedai majikannya di Jalan Budiman, semalam.

Norsuhada menunjukkan tempat kotak berisi stok Nescafe yang dilarikan dua lelaki, di kedai majikannya di Jalan Budiman, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, dua lelaki terbabit berjaya melarikan satu kotak stok Nescafe.

Pembantu kedai terbabit, Norsuhada Abdul Rahman, 22, berkata, ketika kejadian dia berseorang di kaunter pembayaran sebelum didatangi dua lelaki terbabit.

“Mereka berdua masuk ke dalam kedai dan berpura-pura menjadi pelanggan dengan mengambil pelbagai barangan termasuk sabun, Milo, susu, gula dan macam-macam lagi, dan diletakkan di atas kaunter pembayaran.

“Bagaimanapun, saya rasa agak pelik kerana mereka sering menjeling ke arah saya setiap kali memilih barang di rak dan disebabkan itulah, saya mula rasa takut lalu memanggil majikan saya, Sabariah Tengku Chik, 45, bagi mendapatkan bantuan,” katanya, semalam.

Norsuhada berkata, sebelum itu, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu juga menggunakan pelbagai taktik agar dia meninggalkan kaunter pembayaran termasuk menyuruhnya mengambil barang di atas rak.

“Namun, saya tidak endahkan permintaan mereka. sebaliknya menyuruh mereka ambil sendiri walaupun saya tahu ia agak kurang sopan dari aspek melayan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai, Sabariah berkata, sejurus dimaklumkan kehadiran dua lelaki terbabit, dia segera ke kedai dan memerhatikan gerak geri mereka yang sibuk memilih barang sehinggakan memenuhi kaunter pembayaran.

“Saya ada bertanyakan kepada mereka datang dari mana dan salah seorang daripadanya mendakwa dari Kuantan, Pahang. Tujuan mereka ke negeri ini untuk mencari seorang perempuan.

“Mereka juga mendakwa tinggal di sebuah hotel berhampiran untuk beberapa hari. Mereka bercakap menggunakan dialek bahasa Melayu tempatan,” katanya.

Sabariah berkata, kemuncak ‘sandiwara’ itu, salah seorang daripada suspek memesan satu ‘sarang’ telur dan dua kilogram bawang.

“Ketika saya sedang tunduk mengambil telur dan Norsuhada tunduk menimbang bawang yang dipesan, mereka berdua mencapai satu kotak berisi penuh Nescafe yang ada di situ dan berlalu pergi menaiki sebuah kereta diletakkan di hadapan kedai,” katanya.

Dalam keadaan kelam kabut itu, kedua-dua mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat kotak berisi Nescafe itu, bernilai kira-kira RM200 dilarikan begitu sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.