Pukul, ugut sembelih isteri

image (1)

KUALA TERENGGANU – Gara-gara pertengkaran kecil, seorang lelaki sanggup mengugut mahu menyembelih isterinya dengan parang, dalam satu kejadian di Manir, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, lelaki berusia 41 tahun berkenaan turut bertindak memukul dan menyepak mangsa, 31, malah dalam masa sama memaki hamun wanita malang itu menggunakan kata-kata kesat.

Menurut sumber, sebelum insiden itu, berlaku perselisihan faham di antara pasangan suami isteri itu sehingga menyebabkan pertengkaran mulut di antara mereka.

“Dalam pertengkaran mulut itu, suspek memaki hamun mangsa menggunakan kata-kata kesat bagi melepaskan segala amarahnya. Suspek juga bertindak memukul dan menyepak mangsa meskipun dirayu beberapa kali oleh wanita itu kerana kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudiannya bertindak mengambil parang di atas peti, lalu mengacukan kepada mangsa, sambil mengugut mahu menyembelihnya.

Katanya lagi, mangsa yang takut dengan ugutan suspek mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kejadian sejurus suspek beredar dari rumah.

“Mangsa mendakwa suspek yang juga penagih dadah sebelum ini selalu memukulnya setiap kali bergaduh, namun dia hanya mendiamkan diri dan tidak melaporkan kepada polis kerana ingin menjaga rumah tangga serta memikirkan nasib anak-anak.

“Tetapi kali ini mangsa membuat laporan polis kerana ugutan suspek amat menakutkan dan bimbang akan keselamatan dirinya serta anak-anak pada masa akan datang,” katanya.

Jelas sumber lagi, mangsa turut mendakwa sudah tidak sanggup lagi tinggal bersama dengan suaminya yang panas baran dan sering dipukul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.