PRU13 di Johor mencabar

Jawatan nombor satu kepimpinan negeri terus menjadi perhatian dan diperkatakan. Terbaru, terdapat desas-desus bertiup kencang mengenai kedudukan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sama ada beliau akan terus bertanding di Dun Serom, sekali gus mengekalkan kedudukannya selaku orang nombor satu atau  memberi laluan kepada calon muka baru untuk jawatan nombor satu itu.

Abdul Ghani Othman

Abdul Ghani Othman

Kedudukan Abdul Ghani yang telah menerajui Johor selama empat penggal sejak  3 Mei 1995 mula diperkatakan sejak pilihan raya 2004, biarpun terdapat suara inginkan angin perubahan dengan menyenaraikan calon muda untuk menerajui Johor.

Antara nama yang disebut-sebut, Menteri Pengajian Tinggi yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Mohamed Khaled Nordin sebagai pengganti.

Hanya jawapan kosong diberikan apabila kedua-dua individu ini bersikap tutup mulut, malah Abdul Ghani juga dilihat mengelak untuk bertemu media.

Semua spekulasi bakal terjawab ketika hari penamaan calon. Jika benar Johor bakal diterajui tampuk pemerintahan baru, Mohamed Khaled dikatakan akan bertanding di Dun Tanjung Puteri sekali gus meninggalkan kerusi Parlimen Pasir Gudang yang disandangnya sejak dua penggal.

PR tidak terkecuali dilanda pergolakan dalaman isu pertindihan kerusi yang gagal diselesaikan sekali gus mengheret ‘hilang jejak’ Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, sehingga kini.

Bekas Menteri Kesihatan itu dikatakan merajuk dan khabar angin mengatakan dirinya akan bertanding selaku calon bebas susulan keputusannya tidak didengar malah penolakan terang-terang rakan sejawat dari DAP apabila permintaannya untuk menukar kerusi Gelang Patah dengan Bakri tidak diendahkan.

Pergolakan bermula apabila Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau melabel Jui Meng sebagai seorang diktator selain mendakwa telah mengabaikan  jasa baik Pas dan DAP berhubung pembahagian kerusi.

Cheng Hau meminta pentadbiran PKR diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang akhirnya diselesaikan dengan permohonan maaf darinya 21 Februari lalu.

Keadaan tidak berkesudahan, DAP dan PKR sekali lagi nekad merebut kerusi Dun Johor Jaya dengan masing-masing mengumumkan calon sendiri untuk bertanding di situ.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.