Prinsip Izara Aishah

Izara-Aishah

SEJAK awal pembabitannya dalam industri seni lagi, kelibat gadis kacukan Pakistan Melayu dari Bakar Batu, Johor Bharu ini sudah mendapat perhatian ramai pihak.

Bukan sahaja memiliki rupa paras yang menawan, gadis berusia 23 tahun ini juga amat berbakat dalam bidang lakonan dan mudah didekati.

Namun, di sebalik kelincahan dan keramahannya itu, pemilik nama sebenar Izara Aishah Hisham ini tidak mahu dijadikan alat oleh sesiapa sahaja.

Dek kerana itu, biarpun menyedari masih baharu di dalam industri, Izara tidak gusar menyatakan prinsip dan tujuan sebenarnya dia berada di dalam industri seni ini.

Menurut Naib Juara Dewi Remaja 2009/2010 ini, sejak awal lagi, dia sebenarnya amat menitik beratkan soal penampilan dan kinilebih berjaga-jaga dari segi pemakaiannya.

Katanya, dia mula menyedari soal penampilan dirinya yang agak seksi menerusi lakonan dalam filem Sejoli yang pernah ditayangkan sekitar awal tahun lalu.

Bimbang dengan penerimaan masyarakat dan enggan menjadi mangsa eksploitasi pada masa akan datang, Izara akhirnya meletakkan syarat dalam soal berpakaian selepas ini.

“Bila saya tonton semula lakonan saya dalam Sejoli, saya mula sedar dan berasa tidak selesa. Jadi, sekarang saya letakkan syarat tidak mahu tampil dengan pemakaian yang terlalu terdedah.

“Malah ketika berlakon dalam filem Pilot Cafe, saya akui berasa tidak selesa dengan soal pemakaian tetapi saya terpaksa akur dengan permintaan produksi.
“Namun, dari segi lakonan pula saya tidak letak syarat apa-apa.

Lagipun saya percaya yang kekasih saya faham mengenai bidang kerja saya sebagai seorang pelakon. Asalkan saya tahu menjaga diri dan batasan,” katanya.

Tidak sekadar soal berpakaian yang dipandang oleh Izara, anak sulung daripada tiga beradik ini amat menitik beratkan soal privasi dalam kehidupannya.

Biarpun sebelum ini dia kurang gemar mengheret keluarganya dalam limpahan dunia glamor, Izara akui terpaksa akur untuk berkongsi sedikit soal peribadi apabila menjalin hubungan cinta dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios iaitu Adib Khalid.

Bagaimanapun keterbukaannya itu akhirnya disalah erti apabila Izara dikatakan sudah berubah dan mula bersikap sombong dengan sesetengah pihak.

“Sebelum ini saya lebih fokus kepada kerjaya berbanding cerita peribadi. Cuma sekarang ni saya lebih terbuka berkongsi hal peribadi saya di media sosial jadi mungkin dari situ orang baru nampak dan tahu perangai saya.

“Tapi saya tak faham kenapa orang cakap saya sekarang sudah sombong sedangkan saya masih Izara Aishah sama seperti awal-awal saya masuk industri. Kalau jumpa dengan peminat di luar pun, saya sedia melayan atau bergambar dengan mereka.

“Kalau betul saya sudah berubah, tiada pula kawan-kawan rapat atau keluarga yang menegur atau merungut tentang perubahan sikap saya,” ujarnya kesal.

Perbaiki mutu lakonan

Tidak hanya berprinsip dalam soal berpakaian dan hal peribadi, tekad Izara, dia mahu memperbaiki mutu lakonannya.

Dek kerana itu juga, Izara kini lebih selesa mendapatkan bantuan daripada tenaga pengajar yang juga pelakon berpengalaman seperti Ellie Suriati dan Fauziah Nawi.

“Selepas melihat lakonan saya di Sejoli, saya memilih untuk lebih memandang serius kepada aspek lakonan saya. Tambahan pula, saya seboleh-bolehnya mahu memberikan yang terbaik dalam perkembangan kerjaya saya.

“Malah, untuk filem Pilot Cafe, saya turut mendapatkan tunjuk ajar dari Ellie Suriati bagi mendalami watak Maya dengan lebih berkesan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem adaptasi Pilot Cafe, Izara mengakui, dia berdebar-debar menunggu reaksi peminat apatah lagi ia merupakan gandingan pertamanya dengan aktor, Fahrin Ahmad.

“Ramai letak harapan tinggi terhadap filem ini dan sedikit sebanyak ia buat saya rasa tertekan, apatah lagi memikirkan bagaimana penerimaan penonton terhadap lakonan saya.

“Watak saya sebagai Maya juga agak berat, kerana memerlukan saya menangis dan melakonkan babak melahirkan anak. Disebabkan belum ada pengalaman mengandung, saya banyak tengok YouTube dan buat pemerhatian bagaimana  pergerakan wanita hamil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izara kini sedang sibuk dengan penggambaran filem adaptasi novel Kau Yang Satu arahan Osman Ali di samping aktor Aaron Aziz dan Hisham Hamid.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.