Polis trafik mangsa gurauan

ANGGOTA polis trafik menunjukkan bajunya yang kotor dibaling peserta Larian Penang Rainbow Run, semalam.

ANGGOTA polis trafik menunjukkan bajunya yang kotor dibaling peserta Larian Penang Rainbow Run, semalam.

Georgetown: Akibat terlalu teruja, beberapa peserta larian Penang Rainbow Run di sini dipercayai secara tidak sengaja terbaling serbuk berwarna ke arah seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas menjaga lalu lintas sempena acara itu.

Tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang anggota polis berkenaan berikutan pakaian seragamnya kotor akibat terkena serbuk berwarna itu.

Sumber berkata, sebelum itu anggota trafik berkenaan sedang mengawal lalu lintas dan hanya menyedari bajunya yang berwarna putih itu kotor akibat terkena serbuk berwarna dibaling peserta larian.

“Rakan anggota polis itu menegurnya selepas melihat tompokan serbuk berwarna merah di bahagian belakang badan dan seluarnya, sekali gus menyebabkan pakaian seragamnya kotor.

“Ia dipercayai dibaling seorang daripada 5,000 peserta yang terbabit dalam larian sejauh lima kilometer itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan polis dibuat anggota trafik berkenaan berhubung kejadian itu.

Walaupun perbuatan itu mungkin dianggap gurauan, beliau menasihatkan orang awam menghormati anggota polis bertugas dan tidak bertindak di luar batasan.

“Orang ramai perlu hormati tugas polis, selain tidak bertindak di luar batasan hingga boleh menyebabkan gangguan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, tugas anggota polis akan terganggu jika ada peserta larian terbabit yang bertindak membaling pewarna meskipun mereka mungkin berniat baik.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.