PKR cakap tak serupa bikin

image (3)SHAH ALAM –  Pemilihan PKR yang berlangsung dalam keadaan huru-hara kelmarin, menunjukkan budaya ‘gila kuasa’ dalam parti berkenaan semakin parah.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan calon dan penyokong yang ‘gila kuasa’ menjadikan pemilihan kali ini bertukar emosional.

“Semua yang gila kuasa untuk pegang jawatan memang begitu, pemilihan jadi emosional. Walaupun umum maklum dalam semua parti wujud kekecohan, tapi PKR yang berdiri atas nama ‘keadilan’ bertindak sebaliknya.

“Sepatutnya calon dan penyokong muhasabah diri dan reda sama ada menang atau kalah. Tindakan memanipulasi ini bakal mencalarkan imej parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengklasifikasikan tindakan manipulasi yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan kehilangan peti undi dan pengundi tidak sah.

Daripada aspek persepsi pula, Mohd Azizuddin berkata, pemilihan parti yang bersandarkan keadilan itu tidak berlangsung seperti diharapkan.

“Ia seolah-olah cakap tak serupa bikin. Sewajarnya calon perlu betul-betul ikhlas. Mereka perjuangkan keadilan untuk rakyat tetapi mereka sendiri pun tidak adil,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, kacau-bilau dalam persaingan merebut jawatan PKR di Selangor itu, memperlihatkan barisan alternatif gagal membuktikan kepada rakyat keupayaan mereka memacu pentadbiran negara seperti dicanang dan diperjuangkan.

Menurutnya, teori yang dilaungkan parti itu tidak sama dengan apa yang mereka praktikkan.

“Kritik memang mudah…bila kena laksanakan, haru-biru. Insiden kekecohan yang tercetus dalam pemilihan parti itu mencerminkan PKR gagal dari segi pengurusan dan pentadbiran dalam parti sehingga timbul rasa tak puas hati di kalangan pemimpin bawahan.

“PKR harus uruskan ‘rumah tangga’ mereka terlebih dahulu sebelum komen cara orang lain. Huru-hara dalam hanya pemilihan peringkat cabang itu memberi kesan buruk kepada citra dan persepsi terhadap keupayaan PKR pada masa depan,” katanya.

Menurut Jeniri, pergolakan dalam pemilihan peringkat cabang PKR bakal menjejaskan kredibiliti parti berkenaan yang gemar mengkritik tetapi gagal melaksanakan.

“Selepas ini mereka sudah tidak ada autoriti untuk beri komen isu pengurusan pilihan raya yang lebih besar yang melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti urusan pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK) yang lebih kompleks.

Sebab ini babitkan ramai orang berbanding peringkat cawangan.

“Orang ramai akan tempelak dan mentertawakan PKR yang kononnya pejuang pilihan raya adil dan telus,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, tindakan kurang bijak kebanyakan pemimpin PKR seolah-olah matlamat menghalalkan cara dengan menggunakan 1001 jalan walaupun jelas melanggar peraturan.

“Umum maklum Selangor ialah negeri PKR, jadi pemilihan peringkat negeri itu sengit. Mereka pergunakan kuasa dan kemudahan yang ada untuk rebut jawatan dalam parti sehingga melanggar peraturan.

“Bagaimanapun mereka tidak sedar tindakan seumpama itu boleh menjahanamkan parti itu sendiri,” katanya.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.