Pilih Calon Tiada Agenda Tersirat

12111KAJANG – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang supaya menimbangkan memilih calon yang tidak mempunyai agenda tersirat menjadi wakil rakyat mereka.

Beliau berkata selepas memasuki hari ke-10 kempen pilihan raya kecil Kajang hari ini, pengundi tentunya sudah boleh menilai matlamat kedua-dua calon yang bertanding – antara yang masih keliru mahu membela rakyat atau individu yang sudah tahu matlamatnya berkhidmat untuk rakyat.

“Dalam hal ini calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun tidak ada agenda tersirat kecuali niat suci untuk membela nasib rakyat, malah beliau juga mempunyai ciri-ciri seorang wanita yang komited dan mudah didekati,” katanya ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah bersama Chew di Sungai Kantan di sini hari ini.

Beliau berkata pengundi harus membuat keputusan berdasarkan agenda jelas yang dibawa calon, bukannya mengikut ‘ihsan’ berikutan masalah yang dihadapi calon berkenaan.

Ketua Wanita Umno itu berkata penerimaan masyarakat, khususnya pengundi Melayu kepada Chew adalah amat baik, malah mereka begitu selesa untuk menerima kehadiran naib presiden MCA itu dalam setiap kempen yang disertainya.

Shahrizat berkata sehingga kini kempen Wanita BN juga berjalan lancar dalam suasana kekeluargaan.

“Ini jauh berbeza dengan pakatan pembangkang yang merasakan mereka adalah raja, sekaligus boleh berbuat apa sahaja termasuk melepaskan amanah yang diberikan rakyat,” katanya merujuk kepada tindakan wakil rakyat sebelum ini melepaskan kerusi yang dimenanginya untuk digantikan dengan individu lain.

Shahrizat berkata pimpinan pembangkang juga jelas menunjukkan sikap hipokrit serta ego keterlaluan apabila secara angkuh menyatakan mereka akan pastikan Chew kehilangan deposit kepada calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada hari pengundian Ahad ini.

Beliau berkata walaupun bermula sebagai ‘underdog’ BN tetap mempunyai kekuatan untuk mencipta kejutan, dan berdasarkan penerimaan yang ditunjukkan pengundi, perkara itu tidak mustahil menjadi realiti.

“Cuma saya selalu ingatkan jentera kempen bahawa pengundi adalah raja, dekati mereka dengan ikhlas tanpa sebarang rasa riak dalam diri,” katanya.

Sejumlah 39,278 pengundi terlibat bagi menentukan nasib Chew dan Dr Wan Azizah pada PRK Kajang 23 Mac ini. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.