PGA Akan Tubuh Batalion Briged Timur

PK03_200214_PGA-565x423IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menubuhkan Briged Timur PGA, masing masing satu batalion di Sabah dan Sarawak setelah mendapat kelulusan jawatan daripada kerajaan, kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata cadangan itu selaras dengan perancangan untuk memperluaskan kawasan keselamatan negara terhadap ancaman luar seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke Sarawak.

Langkah itu sebagai persediaan menghadapi sebarang anasir yang cuba menceroboh ke dalam negara pada bila-bila masa, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Asas PGA Siri 1/2013 di sini, hari
ini.

Dalam pada itu, Salleh berkata PGA juga akan mengekalkan Modul Teknik Peperangan di Hutan dalam setiap kursus asas bagi mempersiapkan anggota dalam menghadapi ancaman musuh.

“Ilmu medan perang di hutan adalah sangat penting dalam setiap kursus PGA,  dalam melengkapkan anggota kita secara menyeluruh untuk menangani anasir dan ancaman luar,” katanya.

Selain itu, Salleh berkata silibus dan latihan sedia ada dalam kursus asas PGA akan diperkemaskan, sejajar dengan skop dan kehendak tugas dalam menjaga ketenteraman awam di samping memberi sokongan kepada jabatan serta agensi luar dalam operasi tertentu dari semasa ke semasa.

Selain bertugas sebagai anggota polis biasa, anggota PGA yang diberi latihan ketenteraan para militari juga boleh ditempatkan di mana sahaja pada bila-bila masa seperti pencegahan jenayah di bandar, katanya,

Beliau menggesa golongan muda yang menggemari cabaran supaya mengikuti kursus PGA yang akan melatih mereka secara keseluruhan dalam mempertahankan negara.

Pada majlis itu, Inspektor Mohamad Puat Shafie yang bertugas di Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Johor terpilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan kategori Pegawai dan Koperal Ahmad Fithi Abu Bakar bagi kategori Anggota Pangkat Rendah (APR).

Sebanyak 290 pelatih terdiri daripada pegawai dan anggota pangkat rendah menamatkan kursus hari ini selepas menjalani latihan sejak 25 Nov lepas membabitkan 13 Modul Latihan yang dilaksanakan di Ulu Kinta di sini dan Markas Latihan Luar Tupah, Bedong, Kedah. – BERNAMA

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.