Permatang Pauh sukar dibolos, kedudukan Anwar tidak tergugat

BUKIT MERTAJAM – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang berakhir kelmarin menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh menerima sebanyak 37,090 undian mengalahkan calon BN, Dr Mazlan Ismail yang meraih undi sebanyak 25,369 dan calon Bebas, Dr Zawawi Samsuddin yang menerima 201 undi.

Anwar bersama Salleh yang memenangi kerusi Dun Permatang Pasir dengan undian 13,479 (dua, kanan) di Bukit Mertajam ketika penamaan calon pada 20 April lalu.

Anwar bersama Salleh yang memenangi kerusi Dun Permatang Pasir dengan undian 13,479 (dua, kanan) di Bukit Mertajam ketika penamaan calon pada 20 April lalu.

Jumlah undi keseluruhan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah sebanyak 63,332 manakala peratus pengundian berjumlah 88.33 peratus. Undi rosak dicatatkan adalah sebanyak 672 undi.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh, Jusni Ismail di Institut Kemahiran Bina Negara, Bukit Mertajam kelmarin.

Jumlah undian yang diterima membuktikan sokongan beliau semakin bertambah dan kedudukannya semakin kukuh dengan kepercayaan diberikan penduduk setempat.

Berbanding pilihan raya umum yang lalu di mana penyandangnya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi yang sama dengan undian sebanyak 30,338 mengalahkan calon BN, Datuk
Pirdaus Ismail yang menerima undian keseluruhan iaitu 16,950 undi.

Sepanjang tempoh kempen yang bermula sejak hari penamaan calon pada 20 April lalu, Anwar yakin dengan sokongan yang diberikan penduduk.

Ia jelas melalui sesi ceramah dan siri kempen yang dijalankan di lokasi-lokasi panas antaranya Kubang Semang dan Machang Bubok.

Sejak awal kempen lagi, beliau memohon pertolongan penyokong supaya membantu menguatkan kubu Permatang Pauh.

Ini berikutan usahanya untuk mengukuhkan kedudukan PKR di negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Ternyata, telahannya tepat kerana Permatang Pauh tetap dapat dikekalkan walaupun beliau jarang pulang ke tempat sendiri untuk berkempen.

Anwar mula memegang jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 mewakili BN.

Kemudian kerusi itu disandang isterinya yang juga Presiden PKR sejak 1999.

Anwar bertanding kerusi tersebut selepas dikosongkan oleh Dr Wan Azizah pada 31 Julai 2008 dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 15,671 undi.

Sehingga kini, kedudukannya sukar digugat walaupun sepanjang tempoh berkempen, pelbagai isu yang ditimbulkan untuk menggoyahkan beliau.

Sementara itu, Dr Afif Bahardin (PKR) memenangi kerusi Dun Seberang Jaya  dengan undian 14,148 undi manakala Datuk Salleh Man (Pas) memenangi kerusi Dun Permatang Pasir dengan menerima 13,479 undi.

Dr Norlela Ariffin (PKR) pula mencatatkan undian sebanyak 9,387 bagi kerusi Dun Penanti.

Ternyata, kubu milik Anwar sukar dibolosi dan ditambah dengan kemenangan PR mengaut ketiga-tiga kerusi Dun, Permatang Pauh semakin kebal.

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.