Peniaga pasar seronok layan Muhyiddin

image (35)

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan penjual ikan, Lee Chee Huah, 60, semasa melakukan tinjauan mesra di Pasar Awam Seberang Jaya di Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Peniaga di Pasar Awam Seberang Jaya jelas gembira dengan keprihatinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanyakan keadaan  dan masalah mereka semasa Timbalan Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra di pasar itu hari ini.

“Saya sempat meluahkan masalah peniaga di sini seperti masalah tempat sesak serta keadaan bumbung yang sudah lama serta pembaharuan ruang yang selesa diperlukan,” kata peniaga kedai makan, Haji Abdul Rahman Amir Hussin.
Peniaga berusia 64 tahun itu berkata dia berasa teruja apabila kedainya dipilih Muhyiddin untuk bersarapan.
“Tidak sangka Timbalan Perdana Menteri akan menjamu selera di sini. Beliau dijamu roti jala, roti canai dan kuih-muih seperti karipap, kuih seri muka dan lompang atas permintaannya,” kata pemilik Aabah Kafe yang sudah beroperasi selama 20 tahun itu kepada pemberita.
Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan antara atur cara beliau ialah mengadakan mesyuarat dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri bagi persiapan menghadapi PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.
Muhyiddin yang turut beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di pasar itu kira-kira 30 minit, turut menerima bunga ros daripada peniaga N. Komathi ketika singgah di kedai wanita berusia 61 tahun itu.
“Saya sangat seronok apabila nampak Timbalan Perdana Menteri datang kedai saya dan bertanya khabar. Jadi saya bagi bunga ros dan ia adalah kali pertama saya memberi bunga kepada pemimpin,” katanya yang sudah lima tahun berniaga di situ.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.