Pengundi perlu bijaksana elak perkara tidak diingni

LUMUT – Rakyat perlu menjadi pengundi bijaksana dan cekap menilai agar tidak terpengaruh dengan ‘cerita dongeng’ yang boleh membawa kepada kesilapan memilih parti untuk mentadbir negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderahati berupa replika kapal selam daripada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (kiri).

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderahati berupa replika kapal selam daripada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (kiri).

Beliau berkata sebagai rakyat yang mempunyai tanggungjawab besar, pengundi juga perlu bijaksana tanpa dikuasai emosi serta kefahaman yang silap bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku di dalam negara.

“Di bawah (pentadbiran) enam Perdana Menteri termasuk saya, negara kita terus maju dan aman. Rakyat diberi kuasa bagi menentukan kerajaan, jadi rakyat perlu guna dengan bijak, tidak dipengaruhi emosi dan sifat lain yang tidak baik bagi manusia,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perpaduan Ummah sempena pilihan raya umum ke-13 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata kefahaman yang silap dalam memilih parti pentadbir akan membawa kepada sebuah kerajaan yang tidak berwibawa sekali gus pembangunan negara tidak dapat dicapai.

Beliau berkata anak Malaysia sudah mencipta pelbagai kejayaan seperti menjadi juruterbang pesawat ternama, memiliki North Port dan West Port yang mengendalikan lebih 10 juta kontena keluar-masuk, menawan Gunung Everest, mengelilingi dunia secara solo dengan kapal layar serta menghasilkan produk untuk pesawat, hasil kecekapan rakyat memilih kerajaan.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak tamak kerana mewujudkan perkongsian kuasa yang didokong 14 parti komponen mewakili pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Namun ada pihak yang menimbulkan kebencian… di Malaysia, jika tidak ada kesanggupan berkongsi kuasa dan kekayaan yang ada, kaum yang tidak diwakili dalam kerajaan akan kecewa dan (ini boleh) mengancam keselamatan (negara),” katanya.

Ketika sesi soal jawab, beliau berkata pakatan pembangkang bukan satu perikatan sebaliknya hanya berpakat, yang bukan bermaksud berkongsi.

“Mereka sedar jika bertanding sebagai satu parti mereka tidak akan berjaya, parti kerajaan akan menang. Jadi, untuk pilihan raya, mereka letak satu calon pakatan, itupun tidak begitu berjaya,” katanya.

Beliau berkata pakatan pembangkang tidak mampu menjadi parti pemerintah kerana mempunyai prinsip dan perjuangan yang berbeza untuk negara, selain tidak mampu mencapai persetujuan bersama. – Bernama

Komen

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.